05 Julai 2021

18 pekebun durian direman 2 hari

  Sebahagian pekebun durian yang dikenakan perintah reman dua hari bagi membantu siasatan menceroboh HSK Batu Talam.

Sebahagian pekebun durian yang dikenakan perintah reman dua hari bagi membantu siasatan menceroboh HSK Batu Talam.

KUANTAN: Seramai 18 pekebun yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, direman dua hari, bermula hari ini.

Perintah reman itu dibuat Penolong Pendaftar Mahkamah Raub, Yusri Wanu Suki, pagi ini.

Peguam, Chan Yen Hui, yang mewakili pekebun berkenaan, berkata Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) pada awalnya meminta perintah reman selama empat hari di atas beberapa sebab termasuk pegawai memerlukan lebih masa untuk merekod kenyataan daripada kumpulan pekebun.

"Bagaimanapun, kami berpandangan, tangkapan dibuat pada jam 1.30 tengah hari semalam dan pihak berkuasa sepatutnya mempunyai masa mencukupi bagi merekod kenyataan.

"Selepas mendengar penghujahan kedua belah pihak, mahkamah bersetuju membenarkan perintah reman selama dua hari sehingga tengah malam esok," katanya.

Turut mewakili pekebun ialah peguam Samantha Chong Yin Xin dan Collin Arvind Andrew.

Sementara itu, Yin Xin berkata, pihak pembelaan berpendapat pekebun berkenaan tidak perlu ditempatkan di lokap memandangkan polis yang membuat penyiasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, sudah membebaskan mereka dengan jaminan polis.

"Seksyen 186 membabitkan kesalahan lebih serius tetapi pekebun diberi ikat jamin polis dan mereka juga tidak meminta penahanan reman. Melihat kes ini, reman mengikut Akta Perhutanan Negara 1984, tidak sepatutnya dibenarkan.

"Pekebun juga bersedia memberi kerjasama penuh sepanjang penyiasatan dan sanggup ke balai polis apabila diperlukan," katanya.

Dua pekebun sebelum ini dibawa dengan sebuah lori polis ke Mahkamah Majistret Raub kira-kira jam 11 pagi tadi.

Turut hadir di kompleks mahkamah termasuk Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Laporan sebelum ini menyebut 18 individu dipercayai pekebun durian haram, ditahan kerana disyaki menceroboh HSK Batu Talam di Raub, semalam.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, berikutan tindakan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman, berkata pekebun itu termasuk seorang wanita, ditahan semalam.

"Mereka mulanya disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 427 kerana menyebabkan kerosakan, kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

"Bagaimanapun, JPNP sudah memulakan siasatan berikutan tindakan memasuki hutan simpan dan mereka direman bagi membantu siasatan," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: