05 Julai 2021

Zuma enggan serah diri jalani hukuman penjara

  Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. - Foto AFP

Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma. - Foto AFP

NKANDLA, AFRIKA SELATAN: Bekas Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, diperintah menyerah diri bagi memulakan hukuman penjara 15 bulan kerana menghina mahkamah.

Ia susulan kenyataan beliau yang menegaskan tidak akan akur dengan tarikh ditetapkan mahkamah untuk berbuat demikian.

"Saya tidak perlu ke penjara hari ini (Ahad). Menghantar saya ke penjara ketika pandemik, pada usia saya, adalah sama seperti menjatuhkan hukuman mati terhadap saya," katanya kepada wartawan di hadapan ratusan penyokongnya di Kwa-Zulu Natal, di sini.

Terdahulu, Zuma, 79, mendakwa hak asasi manusianya diserang oleh hakim mahkamah perlembagaan.

Beliau dan pasukan guamannya menghantar dokumen untuk membuat rayuan berhubung hukumannya yang disifatkan terkhilaf, dalam usaha mengurang atau membatalkannya.

Zuma dijatuhi hukuman penjara kerana menghina mahkamah selepas beliau berulang kali enggan bertemu dengan pasukan penyiasat berkaitan rasuah untuk memberi bukti.

Selepas menjatuhkan hukuman kepada Zuma, mahkamah Afrika Selatan itu bersetuju untuk mendengar rayuannya bagi membatalkannya, yang akan dibicarakan pada 12 Julai depan.

Tarikh akhir untuk beliau menyerah diri kepada pihak berkuasa adalah semalam.

Polis kini memiliki tempoh tiga hari untuk menahan Zuma selepas bekas Presiden Afrika Selatan itu menegaskan enggan menyerah diri.

Penyokong kuat Zuma yang mengenakan pakaian Kongres Nasional Afrika (ANC), berkumpul di hadapan rumah pemimpin mereka sejak beberapa minggu lalu.

"Jika (Menteri Dalam Negeri) Bheki Cele datang ke sini untuk menahan uBaba (Zuma), beliau perlu berdepan kami," kata seorang penyokong, Lindokuhle Maphalala.

Zuma didakwa terbabit dalam rasuah yang berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu, dan didakwa menerima lebih empat juta rand (RM1.17 juta) daripada kumpulan pertahanan Perancis, Thales, yang dianugerahkan kontrak bernilai kira-kira 2.8 bilion euro (RM13.8 bilion). - AFP

Tiada ulasan: