PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor tidak bersetuju dengan cadangan mengibar bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana ia mencerminkan sikap putus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.
Salim berkata, umat Islam khususnya, perlu memahami bahawa sikap mudah mengalah dan berputus asa dengan kesusahan dihadapi adalah dilarang.
“Seorang yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat Allah.
“Kita berpendapat banyak cara lain lagi untuk mendapatkan bantuan bagi mengatasi kepayahan hidup golongan terjejas pendapatan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di portal rasmi Jabatan Mufti Pulau Pinang.
Kempen mengibarkan bendera putih mendapat perhatian meluas baru-baru ini dengan menyeru mereka yang terputus bekalan makanan menggunakan cara itu untuk mendapatkan bantuan.
Selain itu, Salim berkata, terdapat banyak bantuan sedia ada disalurkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri menerusi agensi tertentu serta pusat pengurusan zakat.
“Bantuan boleh didapati menerusi agensi tertentu termasuk pusat pengurusan zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan sumbangan individu.
“Wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri perlulah memainkan peranan sebagai penghubung untuk golongan yang memerlukan bantuan.
“Kemungkinan mereka tidak tahu cara untuk memohon bantuan daripada pihak terbabit,” katanya. fmt/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan