JAKARTA: Dalam usaha membendung penularan COVID-19 di Jawa dan Bali, Indonesia mengumumkan pelaksanaan perintah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) atau darurat.
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), berkata beliau memutuskan untuk melaksanakan darurat PPKM dari 3 hingga 20 Julai ini khusus di Jawa dan Bali.
"Pengumuman darurat di Jawa dan Bali dibuat susulan penularan varian delta yang menyaksikan peningkatan ketara kes COVID-19 di republik ini sejak seminggu lalu.
"Serentak itu, kerajaan akan menggunakan seluruh jentera yang ada untuk mencegah penularan COVID-19.
"Tentera, polis, doktor, kakitangan awam dan perubatan harus bekerja keras sebaik mungkin untuk melawan wabak ini," katanya dalam pengumuman yang dibuat di Istana Kepresidenan hari ini.
Selama pelaksanaan perintah darurat di Jawa dan Bali, hanya beberapa sektor penting saja dibenarkan beroperasi.
Pelaksanaan perintah darurat itu akan meliputi 122 wilayah dan kota di seluruh Jawa yang merangkumi 60 peratus daripada 270 juta penduduk Indonesia.
Ia juga membabitkan kepulauan Bali yang menjadi destinasi percutian popular, dengan kepadatan empat juta penduduk.
Indonesia merekodkan jumlah kes COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara sehingga mencecah 2.17 juta kes dilaporkan termasuk 58,000 kematian.
Setakat lima hari terakhir sehingga 30 Jun lalu, negara itu merekodkan purata 20,000 jangkitan baharu setiap hari.
Kerajaan Indonesia sedang berusaha mengawal angka jangkitan baharu COVID-19 berikutan sistem kesihatan negara itu sedang berada dalam keadaan kritikal ekoran perkembangan terbaru wabak itu.
Malah, petugas kesihatan negara itu juga sudah mula mengeluh selain tidak kurang yang mengalah kerana terlalu penat.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh, terdapat beberapa perubahan dibuat berbanding PPKM tahap 11 yang dilaksanakan sejak 11 Jun lalu.
Di bawah perintah darurat terkini, semua industri yang tidak termasuk dalam sektor penting perlu bekerja dari rumah.
Sementara itu, 50 peratus kakitangan sektor perbankan, pasaran saham, komunikasi dan teknologi serta petugas hotel harus bekerja mengikut syif yang dibenarkan.
Pusat beli-belah, rumah ibadah, taman reakreasi akan ditutup manakala restoran hanya dibenarkan operasi untuk perkhidmatan membungkus makanan saja.
Majlis perkahwinan pula dibenarkan dengan jumlah tetamu terhad kepada 30 orang dan tanpa jamuan, sebaliknya dibekalkan pek makanan.
Pasar raya atau kedai menjual barangan keperluan hanya boleh dibuka sehingga jam 8 malam dengan jumlah pengunjung terhad kepada 50 peratus kapasiti. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan