01 Julai 2021

Sasar 14 juta penduduk divaksin menjelang akhir Julai

 

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (tengah) beramah mesra dengan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP), hari ini - Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Kementerian Kesihatan menyasarkan 14 juta penduduk di Malaysia divaksin menjelang akhir Julai.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata, setakat hari ini, 7.9 juta individu telah divaksin yang mana 17.2 peratus populasi di negara ini menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19 dengan 6.8 peratus sudah pun menerima dua dos penuh.

Memberi contoh, beliau berkata, 14 peratus penduduk di Selangor telah divaksin iaitu seramai 914,000 orang dengan 287,000 daripadanya telah melengkapkan dua dos suntikan.

"Kita mahu meningkatkan sekali ganda dalam tempoh sebulan ini supaya mencapai salah satu indikator nilai ambang yang ditetapkan kerajaan iaitu 10 peratus vaksinasi lengkap (dua dos)," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada seluruh masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar, kerajaan memperuntukkan tambahan RM14 juta bagi pembelian vaksin.

"Tahun ini kita ada tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

"Awal Julai ini, kita akan menerima lebih banyak vaksin baharu seperti CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) yang diutamakan kepada penduduk luar bandar, orang kurang upaya (OKU), dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha memberi perlindungan kepada semua pihak," katanya. BH/-

Tiada ulasan: