JEDDAH: Arab Saudi sudah merekrut 5,000 petugas untuk kerja membasmi kuman di seluruh kawasan Masjidil Haram dan beberapa kemudahan lain sehingga 10 kali sehari ketika musim haji.
Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Abdul Rahman Al-Sudais, berkata kerja-kerja itu akan menggunakan 60,000 liter cecair pembasmi kuman dan teknologi pembersihan terkini.
"Usaha ini akan dipergiatkan ketika musim haji tidak lama lagi, yang akan menyaksikan kira-kira 60,000 jemaah dari seluruh Arab Saudi menyertai ibadah kali ini.
"Bagi memastikan ibadah haji tahun ini berjalan lancar, kami akan pastikan semua kemudahan diselenggara dengan baik.
"Pelan haji tahun ini adalah berdasarkan kepada keadaan semasa, ketika pandemik COVID 19 masih belum reda," katanya.
Jumlah jemaah haji ditetapkan pada 60,000 orang terhad kepada penduduk Arab Saudi serta warga asing yang kini menetap di negara itu, berikutan ancaman COVID-19.
Mengenai pembekalan air kepada jemaah haji, Al-Sudais berkata air Zamzam akan diagihkan dalam botol dinyah kuman, yang akan diedar secara selamat menggunakan robot dan kenderaan pintar menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, lebih 800 kenderaan manual dan elektrik disediakan bagi membantu jemaah bergerak di dalam atau sekitar perkarangan Masjidil Haram terutama bagi mereka yang uzur atau kurang upaya menunaikan ibadah.
Dalam pada itu, Menteri Media Arab Saudi, Majid al-Qasabi, berkata semua barisan kepemimpinan negara sudah bersedia menyambut ketibaan jemaah dan memberikan perkhidmatan serta bantuan sewajarnya untuk kemudahan mereka.
"Kerajaan sudah menyediakan segala kemudahan sama ada dari segi kesihatan atau keselamatan untuk semua jemaah haji pada tahun ini.
"Ibadah haji kali ini adalah yang kedua dilaksanakan di bawah protokol COVID-19," katanya kepada Arab News. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan