01 Julai 2021

Menolak kemudaratan kewajipan bersama

 

SABDA Rasulullah SAW:

‌لَا ‌ضَرَرَ ‌وَلَا ‌ضِرَارَ.

“Jangan lakukan perkara yang mendatangkan mudarat dan menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.” (Riwayat Ahmad 2865, Ibn Majah 2341 dan lain-lain)

Sabda berhikmah daripada Rasulullah SAW kepada umatnya dan seluruh manusia yang hidup bermasyarakat secara fitrah (naluri). Maka, seseorang manusia itu tidak seharusnya bersikap mementingkan diri, keluarga dan kaumnya sahaja, bahkan mereka wajib menjaga orang lain di sekelilingnya.

Hal ini demikian kerana, mereka saling berhajat sesama mereka dalam kehidupan di dunia, tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Inilah maksud yang boleh difahami daripada firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kalian yang telah menjadikan kalian (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawwa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah, Tuhan yang kalian selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kalian.” (Surah al-Nisa’: 1)

Ayat ini menegaskan betapa eratnya hubungan kemanusiaan, sehingga meletakkan mereka dalam satu keluarga besar yang berasal daripada ibu dan bapa yang sama, iaitu Nabi Adam AS dan Hawwa AS.

Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwan antara kalian, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kalian).” (Surah al-Hujurat: 13)

Dalam ayat ini pula, Allah SWT menegaskan bahawa manusia itu wajib berhubungan sesama mereka, walaupun masing-masing hidup dalam masyarakat majmuk dengan kepelbagaian bangsa dan suku kaum, yang berkonsepkan tolong-menolong dan saling berhajat antara satu sama lain.

Ibn Khaldun RH, seorang ulama’ yang terkenal dalam ilmu kemasyarakatan menegaskan:

أنّ قدرة الواحد من البشر قاصرة عن تحصيل حاجته من ذلك الغذاء غير موفية له بمادّة حياته منه ولو فرضنا منه أقلّ ما يمكن فرضه وهو قوت يوم من الحنطة مثلا فلا يحصل إلّا بعلاج كثير من الطّحن والعجن والطّبخ وكلّ واحد من هذه الأعمال الثّلاثة يحتاج إلى مواعين وآلات لا تتمّ إلّا بصناعات متعدّدة ‌من ‌حدّاد ‌ونجّار ‌وفاخوريّ.

“Kesanggupan manusia tidak cukup menggerakkannya untuk mendapatkan makanan yang diperlukan, dan tidak memberinya makanan secukupnya sebagaimana yang diperlukan untuk hidup. Walaupun makanan paling mencukupi untuk sehari seperti sedikit gandum boleh didapatkan hanya setelah melalui persediaan seperti menggiling, menguli dan membakar. Bagi ketiga-tiga peringkat itu memerlukan beberapa perkakas dan alatan yang hanya boleh didapati dengan bantuan seperti kepandaian seorang tukang besi, tukang kayu dan pembuat tembikar.”

وهب أنّه يأكله حبّا من غير علاج فهو أيضا يحتاج في تحصيله أيضا حبّا إلى أعمال أخرى أكثر من هذه من الزّراعة والحصاد والدّراس الّذي يخرج الحبّ من غلاف السّنبل ويحتاج كلّ واحد من هذه من الزّراعة والحصاد والدّارس الّذي يخرج الحبّ من غلاف السّنبل ويحتاج كلّ واحد من هذه آلات متعدّدة وصنائع كثيرة أكثر من الأولى بكثير ويستحيل أن تفي بذلك كلّه أو ببعضه قدرة الواحد فلا بدّ من اجتماع القدر الكثيرة من أبناء جنسه ليحصل القوت له ولهم فيحصل بالتّعاون قدر الكفاية من الحاجة لأكثر منهم بأضعاف.

“Katakanlah seseorang manusia itu boleh memakan biji-bijian yang tidak dikupas, malahan beberapa peringkat lagi adalah perlu bagi mendapatkan biji-bijian itu melalui proses menyemai dan menuai serta menumbuk untuk memisahkan kulitnya. Setiap peringkat proses memerlukan pelbagai alatan dan perkakas serta keahlian seperti yang telah dinyatakan. Sememangnya adalah di luar kemampuan semua proses dilakukan secara sendirian keseluruhan atau sebahagiannya. Dengan demikian seseorang tidak mampu melakukannya tanpa ada penggemblengan tenaga daripada semua pihak yang terbabit, sekiranya dia mahu mendapatkan makanan untuk dirinya dan mereka juga. Dengan cara kerjasama, maka keperluan kepada bantuan beberapa orang bahkan lebih daripada itu akan dapat dipenuhi.” (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, pentahqiq: Abdullah Muhammad ad-Darwisy, terbitan Dar Yu’rab, ms. 137)

Kenyataan ini menunjukkan bahawa mustahil bagi seorang manusia untuk hidup secara bersendirian, maka Allah SWT membahagikan sumber alam yang berbeza dan kebolehan atau kepakaran yang berlainan antara setiap manusia. Inilah maksud yang menerangkan tentang konsep manusia bermasyarakat secara fitrah (naluri), kerana semua hasil sumber alam dan penggunaannya mewajibkan gabungan kehidupan secara bermasyarakat madani.

Ilmu Maqasid al-Syari‘ah menerangkan hikmah hukum Allah SWT untuk menjaga dan mengatur perkara ‘dharuriyyat’ (aspek terpenting bagi kehidupan manusia). Perkara yang wajib dijaga dan dihormati secara individu dan bermasyarakat ialah aspek agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta.  

Islam meletakkan peranan untuk mengurus dan mengatur, dengan tertib yang istiqamah. Contohnya, apabila seorang Badwi (orang kawasan pedalaman yang tidak berpelajaran) datang mahu memeluk Islam dengan syarat dihalalkan kepadanya untuk berzina tidak seperti orang yang lain. Rasulullah SAW menahan para sahabat daripada bersikap kasar terhadapnya, sebaliknya memanggil Badwi tersebut datang mendekatinya, lalu berlakulah dialog antara Baginda SAW dengan lelaki tersebut:

“أَتُحِبُّهُ لِأُمِّكَ؟” قَالَ: لَا. وَاللهِ جَعَلَنِي اللهُ فِدَاءَكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأُمَّهَاتِهِمْ”.

“Adakah kamu menyukai berzina dengan ibumu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, sudah tentu aku tidak merelakannya.” Nabi SAW bersabda: “Orang-orang juga tidak menyukai kamu berzina dengan ibu-ibu mereka.”

قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِابْنَتِكَ؟” قَالَ: لَا. وَاللهِ يَا رَسُولَ اللهِ جَعَلَنِي اللهُ فِدَاءَكَ قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِبَنَاتِهِمْ”.

Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu menyukai berzina dengan anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, sudah tentu aku tidak merelakannya.” Nabi SAW bersabda: “Orang-orang juga tidak menyukai kamu berzina dengan anak perempuan mereka.”

قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِأُخْتِكَ؟” قَالَ: لَا. وَاللهِ جَعَلَنِي اللهُ فِدَاءَكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأَخَوَاتِهِمْ”.

Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu menyukai berzina dengan saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, sudah tentu aku tidak merelakannya.” Nabi SAW bersabda: “Orang-orang juga tidak menyukai kamu berzina dengan saudara perempuan mereka.”

قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِعَمَّتِكَ؟” قَالَ: لَا. وَاللهِ جَعَلَنِي اللهُ فِدَاءَكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِعَمَّاتِهِمْ”.

Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu menyukai berzina dengan ibu saudaramu dari sebelah ayahmu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, sudah tentu aku tidak merelakannya.” Nabi SAW bersabda: “Orang-orang juga tidak menyukai kamu berzina dengan makcik-makcik mereka.”

قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِخَالَتِكَ؟” قَالَ: لَا. وَاللهِ جَعَلَنِي اللهُ فِدَاءَكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِخَالَاتِهِمْ”.

Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu menyukai berzina dengan ibu saudaramu dari sebelah ibumu?” Pemuda itu menjawab: “Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, sudah tentu aku tidak merelakannya.” Nabi SAW bersabda: “Orang-orang juga tidak menyukai kamu berzina dengan makcik-makcik mereka.” (Riwayat Ahmad 22211)

Soalan Rasulullah SAW telah mencetuskan keinsafan dan kefahaman hidup bermasyarakat. Sesungguhnya perbuatan zina menunjukkan akhlak yang keji dan diharamkan kerana boleh mendatangkan kemudaratan buat diri sendiri, institusi keluarga dan masyarakat, termasuklah merosakkan kehidupan dan mendatangkan penyakit.

Rasulullah SAW terus mendoakan lelaki tersebut dan dia kembali merasa benci dan jijik terhadap perbuatan zina.

Dalam menghadapi bencana wabak taun, Rasulullah SAW bersabda secara khusus:

إِذَا ‌سَمِعْتُمْ ‌بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا.

“Apabila kalian mendengar ada wabak taun di mana negeri maka jangan kamu masuk dan apabila kamu berada di negeri wabak itu jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari 5728 dan Muslim 2219)

Saranan Rasulullah SAW dalam hadis ini bermaksud larangan Baginda SAW agar tidak masuk ke tempat berlakunya wabak, kerana boleh menjadi mangsa jangkitannya. Pada masa yang sama, dilarang agar tidak membawa wabak kepada orang yang lain.

Ini menunjukkan bahawa Islam telah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani wabak sejak beberapa abad yang lalu, mendahului perubatan moden. Semua pihak wajib menghadapi wabak yang membunuh dengan mengambil langkah kawalan pergerakan. Tindakan ini sangat penting demi menjaga nyawa manusia daripada jangkitan dan penularan wabak penyakit, bukan sahaja melindungi diri daripada pembunuhan melalui peperangan atau pergaduhan.

Maka, kaedah yang sama wajib dilaksanakan pada hari ini dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 yang merebak ke seluruh pelosok dunia. Kewajipan ini adalah perintah yang mengikut hukum Islam, bukan sahaja berdasarkan undang-undang ciptaan manusia.

Tugas menjaga nyawa manusia adalah wajib, sama ada kepada diri sendiri atau orang lain. Firman Allah SWT:

﴿قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ  ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ١٥١﴾

“Katakanlah: ‘Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kalian kepada kalian, iaitu janganlah kalian menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun; dan hendaklah (kalian) berbuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberikan rezeki kepada kalian dan kepada mereka; dan janganlah kalian menghampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kalian membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syara‘). Dengan yang demikian itulah, Allah memerintahkan supaya kalian memahaminya.” (Surah al-An‘am: 151)

Ayat ini menunjukkan betapa besarnya dosa membunuh sehingga disenaraikan bersama dengan dosa melakukan syirik, membunuh anak sendiri kerana takutkan kemiskinan, melakukan maksiat yang keji dan dosa menderhakai ibu bapa.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا٩٣﴾

“Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya; dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Surah al-Nisa’: 93)

Firman Allah SWT:

﴿مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ كَتَبْنَا عَلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا  وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِنْهُمْ بَعْدَ ذَلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ٣٢﴾

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu, Kami menetapkan ke atas Bani Isra’il, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Ayat ini juga menunjukkan bahawa membunuh adalah sangat besar dosanya. Maka, tanggungjawab dan kewajipan untuk menyelamatkan nyawa manusia lain juga besar ganjaran pahalanya.

Hal ini secara tegas menunjukkan bahawa menjaga nyawa manusia menjadi kewajipan semua pihak kerana nyawa adalah kurniaan Allah SWT yang sangat besar bagi membolehkan manusia itu berperanan dalam memakmurkan kehidupan dunia dengan kemampuan menguruskan makhluk yang lain. Bahkan perbuatan yang boleh mengorbankan nyawa manusia adalah suatu dosa yang sangat besar.

Menjaga nyawa termasuk dalam aspek rukun kehidupan manusia yang wajib dipertahankan dengan perintah Allah SWT dan kebijaksanaan Rasulullah SAW yang menjadi teladan kepada seluruh manusia.

Teladan Baginda SAW termasuk dalam urusan agama ataupun urusan dunia yang menjadi jambatan ke alam akhirat. Firman Allah SWT:

﴿لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا٢١﴾

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kalian pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut-nyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (pada masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Zulqa‘dah 1442 / 1 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 1/7/2021

Tiada ulasan: