03 Julai 2021

Indonesia mula perketat kawalan pergerakan

 Kerajaan Indonesia mula memperketatkan kawalan pererakan di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini hingga 20 Julai, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 varian Delta. - Foto AFP

Kerajaan Indonesia mula memperketatkan kawalan pererakan di Pulau Jawa dan Bali bermula hari ini hingga 20 Julai, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 varian Delta. - Foto AFP

JAKARTA: Indonesia memperketatkan kawalan pergerakan di keseluruhan pulau Jawa termasuk bandar raya ini dan Bali susulan lonjakan kes jangkitan COVID-19 varian Delta di negara itu.

Masjid, restoran dan pusat beli-belah ditutup kerana tersenarai dalam titik panas penularan virus itu negara majoriti Islam, selepas merekodkan lebih 25,000 kes baharu serta 539 kematian semalam, sekali gus mencatatkan rekod harian baharu.

Jumlah kumulatif kes positif di Indonesia mencecah 2.2 juta kes manakala kes kematian merekodkan 59,534 orang. Bagaimanapun, kadar saringan rendah memungkinkan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara itu jauh lebih tinggi.

Krisis yang menghimpit Indonesia menggugat sistem kesihatan awam negara itu apabila banyak khemah didirikan di luar kemudahan kesihatan untuk menampung jumlah pesakit.

Koridor hospital pula sarat dengan ramai pesakit yang baring di atas pengusung. Ada pesakit yang terpaksa dinafikan untuk menerima rawatan di hospital kerana tidak berupaya memberi perkhidmatan.

Menurut Kementerian Kesihatan, varian COVID-19 Delta yang pertama kali dikesan di India sekarang ini sudah wujud di sekurang-kurangnya 85 negara. Ia turut menjadi penyumbang tercetusnya gelombang penularan sehingga mengakibatkan 80 peratus kes baharu jangkitan di beberapa kawasan.

"Lonjakan kes sebab utamanya disebabkan varian Delta. Ia berada di setiap negara. Tiada sesiapa yang selamat," kata Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin semalam.

Langkah memperketatkan kawalan pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 seperti diumumkan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada minggu ini, ditetapkan akan berkuatkuasa sehingga 20 Julai ini sambil menyasarkan ia diharapkan dapat mengurangkan jangkitan bawah 10,000 kes.

Sementara itu, Ketua Polis Indonesia, Imam Sugianto, berkata seramai 53,000 anggota keselamatan dikerahkan untuk bertugas bagi menguatkuasakan kawalan pergerakan di Pulau Jawa dan Bali, bermula hari ini sehingga 20 Julai.

Beliau berkata, penguatkuasaan bersepadu itu disertai 21,000 anggota polis dan 32,000 tentera, bertujuan memastikan pelaksanaan darurat berjalan lancar dan mencapai sasaran ditetapkan. - AFP

Tiada ulasan: