03 Julai 2021

Persatuan Peladang bantu atasi lambakan nanas

 Persatuan Peladang Dalat dan Oya membantu mengatasi masalah lambakan nanas di Dalat. - Foto ihsan Pusat Khidmat ADUN Dalat

Persatuan Peladang Dalat dan Oya membantu mengatasi masalah lambakan nanas di Dalat. - Foto ihsan Pusat Khidmat ADUN Dalat

DALAT: Kerajaan Sarawak menerusi Persatuan Peladang Dalat dan Oya membeli 12.5 tan nanas daripada pekebun sekitar daerah ini dalam usaha memasarkan lambakan hasil tanaman itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata inisiatif itu diambil berikutan lambakan hasil tanaman 59 pekebun sejak lebih sebulan lalu.

Beliau berkata, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat kemudian mengagihkan nanas itu kepada masjid, surau, gereja serta tokong sekitar Dalat untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

"Strategi kerajaan negeri untuk membantu pekebun ketika PKP ini ialah membeli hasil tanaman melalui Persatuan Peladang setempat dengan harga RM1.50 sekilogram.

"Sejak 28 Jun hingga semalam sebanyak 12,477.2 kilogram nanas dihasilkan 59 pekebun berjaya dikumpul," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, nanas itu kemudiannya diagihkan ke seluruh kawasan DUN berkenaan dengan setiap penduduk menerima sumbangan dua biji.

"Langkah ini berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi pekebun kecil yang terjejas berikutan kesukaran memasarkan hasil tanaman mereka sepanjang tempoh PKP," katanya.

Dalat antara daerah pengeluar nanas utama negeri ini yang popular dengan variati nanas sawit atau nanas bersaiz besar.

Selain nanas sawit, pekebun di Kampung Tanam dan Kampung Sungai Kut turut mengusahakan kebun berskala besar dengan tanaman variati nanas Sarikei, Josapine, nanas madu, nanas paun dan variati B52.

BH/-

Tiada ulasan: