04 Ogos 2021

Muhyiddin dedah beliau didesak campuri urusan mahkamah


SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau didesak supaya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan beliau tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan menyedari ada pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan tuntutan yang dibuat itu.

"Saya juga telah dituduh menderhaka kepada raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

"Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada raja dan negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan," katanya pada Perutusan Khas yang disiar secara langsung stesen televisyen tempatan pada Rabu.

Tambahnya, beliau akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

"Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyeru semua penjawat awam, khususnya petugas barisan hadapan agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.

"Saya doakan agar rakyat dan negara kita terus dilindungi oleh ALLAH SWT dan kepada-Nya jua lah kita berserah," katanya.

SH/-


Tiada ulasan: