04 September 2021

10 duta Asia Barat telah ditemui – TG Abdul Hadi

 

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyambut baik pelantikan semula beliau sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Justeru, katanya perancangan kerja yang telah dilaksanakan sebelum ini ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin akan diteruskan.



Menurut beliau, sebanyak 10 duta negara di Asia Barat telah ditemui dan menjalinkan kerjasama dari segi politik, ekonomi dan pendidikan.

“Perancangan telah ada dan sudah bertemu dengan 10 duta, Azerbaijan, Mesir, Iraq, Arab Saudi, Jordan, Syria, United Arab Emirates (UAE), Oman, Qatar. Itu termasuk dalam Asia Barat.

“Sehingga ini 10 duta sudah berjumpa di mana tugasnya ialah kerjasama dari segi politik, ekonomi dan pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.

Katanya, oleh kerana zaman ini zaman Covid-19, maka perhubungan diplomatik dengan duta-duta sudah dibuat dan susulan sudah dilakukan oleh menteri-menteri.

“Menteri-menteri sudah melawat ke negeri ini dan sebahagiannya sudah dilaksanakan, antaranya ialah dagangan minyak kelapa sawit.

“Kita semua tahu harga minyak kelapa sawit telah naik, itu hasil ‘follow up’ dari pertemuan-pertemuan ini. Dan termasuklah dalam soal pendidikan di Mesir, Jordan dan lain-lain.

“Ini termasuklah kerjasama membantu rakyat Palestin, membantu dengan lancar. Jadi, kerja telah dibuat, menyambung kerja sayalah,” jelasnya.

Menurutnya, duta-duta berkenaan telah mengalu-alukan pelantikannya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu.

“Duta-duta ini mengalu-alukan peranan saya sebagai duta di Asia Barat, kerana hubungan dengan NGO-NGO dan daripada kenalan di Asia Barat. Ini akan memudahkan urusan kerja, Insya-Allah,” ujarnya.

Selain Tuan Guru Abdul Hadi, turut dilantik semula sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri pada mesyuarat pertama Kabinet, 1 September lalu ialah duta ke China, Dato’ Seri Tiong King Sing dan duta ke Asia Timur, Dato’ Seri Richard Riot. – HARAKAHDAILY 4/9/2021

Tiada ulasan: