04 September 2021

Langkawi sedia terima pelancong mulai 16 September - LADA

 

ALOR SETAR: Langkawi bersedia menerima kedatangan pelancong apabila pulau peranginan itu dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan, mulai 16 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata hampir semua produk pelancongan di pulau itu dijangka dibuka kepada pelancong tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, LADA bersama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sudah mengemukakan cadangan SOP yang sesuai untuk kelulusan MKN bagi memastikan pembukaan semula pelancongan Langkawi berjalan lancar.

"Kita akan buka semua produk pelancongan dari segi hotel, premis perniagaan, makanan dan aktiviti lain seperti sukan air. Setiap produk memerlukan SOP yang tersendiri dan kita serahkan kepada MKN untuk tentukannya.

"Kita harap MKN akan keluarkan SOP itu dalam masa terdekat bagi memudahkan orang ramai membuat perancangan sebelum datang ke Langkawi dan pengusaha pelancongan di Langkawi juga akan dapat bersedia," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Nasaruddin diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkaitan pemilihan Langkawi sebagai projek rintis bagi program gelembung pelancongan mulai 16 September ini.

Beliau berkata sejak beberapa minggu lepas, LADA dengan kerjasama Akademi Pelancongan Langkawi telah mengadakan kursus pematuhan SOP untuk semua segmen industri yang rapat dengan sektor pelancongan di pulau itu.

Katanya, sebanyak 1,238 pemain industri menyertai kursus itu yang menyaksikan mereka dinilai serta diberikan Sijil Pematuhan SOP COVID-19 yang diiktiraf oleh MKN dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Beliau berkata, menerusi kaedah itu, pelancong boleh mengenal pasti dan memilih produk pelancongan terdiri daripada hotel, premis perniagaan, makanan, pusat rekreasi atau aktiviti sukan yang diyakini mengamalkan SOP ditetapkan agar mereka berasa selamat daripada sebarang risiko penularan COVID-19.

Nasaruddin berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 5,000 pelancong akan mengunjungi Langkawi setiap hari mulai 16 September ini sama ada melalui perkhidmatan feri di Kuala Kedah di sini dan Kuala Perlis, Perlis atau penerbangan.

"Kita juga jangka ada SOP tertentu di terminal feri dan lapangan terbang, jadi pelancong diminta untuk merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan, buat tempahan untuk tiket perjalanan dan produk pelancongan di Langkawi secara dalam talian," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah, Mohd Firdaus Ahmad pula berharap pembukaan semula sektor pelancongan Langkawi mampu membawa keluar pulau itu daripada kemelut dan kelesuan industri yang dihadapi sejak hampir dua tahun.

Katanya aspek pematuhan SOP perlu sentiasa dititikberatkan bagi mengelakkan Langkawi menjadi seperti Phuket di Thailand dan Bali di Indonesia yang terlebih dahulu dibuka namun kini terpaksa ditutup kembali susulan penularan COVID-19.– BERNAMA

Tiada ulasan: