04 September 2021

Sittah Annur dikait dengan ajaran sesat PMYT direman

PETALING JAYA: Wanita digelar Sittah Annur mendakwa beliau  tidak pernah menubuhkan kumpulan ajaran sesat atau aktiviti bertentangan dengan ajaran Islam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, wanita berusia 39 tahun itu sebelum ini membuat laporan polis menafikan dakwaan  beliau mengetuai ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Menurut beliau, Sittah Annur turut menafikan semua tindakan yang dikaitkan dengannya boleh mengancam keselamatan negara. 

“Pada 29 Ogos , satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berkaitan video yang mengandungi kenyataan menghina agama Islam dan menimbulkan keresahan awam. 

“Wanita dalam video tersebut mendakwa dirinya sebagai ketua ajaran PMYT dan boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

“Setakat ini, sebanyak enam laporan polis diterima berkaitan isu itu dibuat di lima balai polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Basri, susulan itu, Sittah Annur  ditahan pukul 1.10 pagi, semalam dan direman empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, pihaknya merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank, resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan berjumlah RM84,721.42 dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan wanita semasa membuat siaran langsung Facebook. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain. 

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan mengesahkan polis  menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook Masitah Ab. Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.

Menurut beliau, siasatan itu menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh akidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan Sittah Annur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari lalu.- UTUSAN

Tiada ulasan: