04 September 2021

Latif raih emas ketiga, penuhi sasaran kontinjen Paralimpik

 AKSI Latif di final acara lompat jauh T20. FOTO Bernama

AKSI Latif di final acara lompat jauh T20. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Khabar gembira buat kem para negara apabila seorang lagi atlet, Abdul Latif Romly menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia dalam acara lompat jauh lelaki T20 di Stadium Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

Kejayaan itu sekali gus memenuhi sasaran kontinjen Paralimpik negara untuk membawa pulang sekurangnya tiga emas pada edisi kali ini.

Jelas sekali, Latif yang juga pemenang pingat emas Rio 2016 cukup sukar digugat apabila catatan pada lompatan kedua iaitu 7.45 meter langsung tidak mampu dicabar peserta lain.

Lompatan pertama menyaksikan Latif sudah membuat kejutan apabila mencatatkan 7.26 meter mengatasi pencabar lain.

Namun, pada lompatan keempat Latif dibatalkan sebelum percubaan kelima menyebabkan dia mengalami kecederaan sekali gus mencatatkan hanya 5.56 meter.

Kecederaan yang dialami Latif menyebabkannya terpaksa menangguh hasrat untuk memecah rekod dunia yang diciptanya apabila tidak melakukan lompatan pada percubaan keenam.

Sementara itu, atlet dari Greece Prodromou Athanasios pula meraih pingat perak dengan catatan terbaik 7.17 meter sementara peserta mewakili Australia Hum Nicholas pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila mencatatkan 7.12 meter.

Mengikut rekod, Latif adalah pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m dan rekod Paralimpik (7.60m), malah dia memasang impian untuk memecah rekod dunia sekali lagi di Tokyo.

Rekod terbaiknya adalah di kejohanan ParaAsia Jakarta 2018 apabila mencatatkan 7.64 meter.

Latif layak menerima ganjaran sebanyak RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Terdahulu, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menghadiahkan pingat emas kedua selepas menewaskan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi, 21-17, 21-15.

Sebelum ini, Bonnie Bunyau Gustin muncul atlet pertama negara berjaya menyumbangkan emas dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg).

hmetro/-

Tiada ulasan: