18 September 2021

77.5 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin COVID-19

 Pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara merekodkan peningkatan apabila 238,002 dos disuntik semalam.- Foto hiasan NSTP/Danial Saad

Pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara merekodkan peningkatan apabila 238,002 dos disuntik semalam.- Foto hiasan NSTP/Danial Saad

KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara merekodkan peningkatan apabila 238,002 dos disuntik semalam, berbanding 202,298 dos kelmarin.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan vaksin yang sudah diagihkan bertambah kepada 39,923,416 dos sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari lalu.

Portal COVIDNOW oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan, jumlah penerima dos lengkap vaksin di Malaysia kini melonjak kepada 18,135,561 individu atau 55.5 peratus daripada keseluruhan populasi.

Bilangan penerima sekurang-sekurang satu dos vaksin COVID-19 turut melonjak kepada 21,861,904 orang, yang merangkumi 66.9 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.

Jumlah itu bersamaan dengan 77.5 peratus penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas bagi penerima lengkap vaksin, dan 92.9 peratus bagi individu dewasa yang menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Berdasarkan kapasiti vaksinasi harian semasa, KKM menjangkakan imuniti kelompok iaitu 80 peratus populasi negara lengkap divaksin, boleh dicapai menjelang 16 Disember depan atau kira-kira tiga bulan lagi.

Setakat semalam, sejumlah 24,178,099 individu mendaftar sebagai penerima vaksin, dengan 2,316,195 daripadanya sedang menunggu untuk menerima dos pertama.

Bagaimanapun, sejumlah 8,479,301 orang atau kira-kira 25.9 peratus daripada lebih 32 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin buat masa ini.

Ia sekali gus menyaksikan, jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin masih belum mencecah 80 peratus daripada populasi negara, dan memerlukan sekurang-kurangnya enam peratus atau sekitar dua juta individu untuk mencapai angka berkenaan.

Dalam pada itu, Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) kekal mencatat peratusan tertinggi bagi populasi yang menerima vaksin lengkap dengan 77.3 peratus daripada keseluruhan penduduknya.

Ia disusuli Labuan (67.3 peratus), Negeri Sembilan (66.6 peratus), Sarawak (64.6 peratus), Perlis (58.7 peratus) dan Melaka (55.1 peratus).

Selain itu, hanya dua negeri iaitu Sabah dan Kelantan yang masih merekodkan peratusan populasi menerima vaksin lengkap di bawah 40 peratus, dengan masing-masing mencatatkan 37.9 peratus dan 36.2 peratus.

BH/-

Tiada ulasan: