18 September 2021

Koperasi teroka industri ternakan lembu

  ABDUL Fattah   (kanan) melawat ladang ternakan milik  Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad (KONSORMAS)  di Kampung Kuala Jerang, Negeri Sembilan.

ABDUL Fattah (kanan) melawat ladang ternakan milik Konsortium Koperasi Kariah Masjid Malaysia Berhad (KONSORMAS) di Kampung Kuala Jerang, Negeri Sembilan.

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) akan terus mempertingkat pembabitan koperasi dalam bidang penternakan lembu dengan mewujudkan koloni di bawah Projek Berkelompok Koperasi.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, industri tenusu di negara ini menunjukkan permintaan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat.

Katanya, ia mendorong sektor koperasi untuk mengambil peluang dalam industri penternakan lembu menghasilkan produk tenusu serta memberi pulangan tinggi kepada mereka.

"Anak syarikat Angkasa, Angkasa-Komardi Dairy Sdn Bhd (Projek Ternakan Lembu Tenusu dan Heifers Park) sudah bergerak cergas apabila berjaya menyewa kandang ternakan lembu dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di bawah Projek Pertanian Moden di Kluang, Johor.

"Projek kendalian bersama Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani Angkasa ini akan memfokuskan kepada pembakaan serta pengeluaran susu.

"Pada Januari 2022, sebanyak hampir 60 lembu dari Australia akan dibawa masuk yang dipilih khas bakanya oleh kumpulan projek pakar," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyeru koperasi mengambil peluang mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi merealisasikan pembangunan industri tenusu ini.

Menurutnya, Angkasa bekerjasama dengan Persekutuan Koperasi Pertanian Kebangsaan (NACF) Korea Selatan.

Katanya, ia dalam aspek pemindahan teknologi dan kepakaran yang diharap dapat membangunkan industri tenusu dan penternakan yang lebih bersistematik, produktif, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan koperasi.

Tiada ulasan: