18 September 2021

Video buaya bersaiz besar di Sungai Linggi rakaman lama

 

TANGKAP layar video tular seekor buaya bersaiz besar di tebing sungai dipercayai di muara Sungai Linggi.

PORT DICKSON: Video tular  memaparkan seekor buaya bersaiz besar dipercayai di tebing muara Sungai Linggi yang menarik perhatian netizen disahkan rakaman lama.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, video tersebut adalah video lama yang dimuat naik empat tahun lalu dan kembali ditularkan.

“Lokasi Sungai Linggi sememangnya habitat buaya dan penduduk juga sudah biasa dengan kehadiran buaya di sungai tersebut. Cuma perlu berhati-hati jika melakukan sebarang aktiviti di sungai tersebut.

“Memang banyak buaya di situ dan lokasi berkenaan menjadi sebahagian habitat buaya mendiami dan berkeliaran. Setakat ini kami belum pernah menerima aduan daripada nelayan dan pemancing berkenaan ancaman buaya kerana mereka sudah biasa dengan kehadiran buaya di Sungai Linggi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Utusan Online melaporkan Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan akan menyiasat kesahihan video yang tular dalam media sosial berkenaan lokasi buaya bersaiz besar yang didakwa di muara Sungai Linggi.

Video berkenaan tular menerusi platform TikTok apabila individu memuat naik video berdurasi 17 saat membabitkan rakaman seekor buaya yang bersidai di tebing sungai berkenaan sejak Khamis lalu. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: