Oleh Muhd Nur Iman Ramli
DUNIA masih tidak mampu keluar daripada belenggu COVID-19 walaupun pelbagai langkah pencegahan diambil hampir dua tahun. Daripada kaedah sekatan pergerakan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) hingga pemberian vaksin besar-besaran di seluruh dunia, virus berkenaan semakin bermutasi dengan varian baharu lebih berbahaya.
Perkembangan ini menyemarakkan lagi pertembungan antara dua kelompok masyarakat era COVID-19, iaitu golongan antivaksin dan provaksin.
Hakikatnya, pandemik bukan fenomena baharu. Sekitar pertengahan kurun ke-14, wabak Black Death tercetus di Asia Tengah berpunca bakteria bawaan tikus. Ia merebak begitu pantas di Asia, Eropah, Afrika Utara dan beberapa bahagian dunia lain.
Masyarakat dunia ketika itu tidak mengetahui punca wabak berkenaan, apatah lagi cara merawatnya. Apa yang terdaya mereka lakukan hanya berdoa dan berlindung di rumah ibadat, menyebabkan semakin ramai mangsa dijangkiti dan terkorban.
Sebelum era kemajuan perubatan muncul, masyarakat Eropah misalnya menyalahkan Yahudi kerana didakwa membawa sial. Amalan ilmu hitam dan kemurkaan Tuhan serta dewa dewi juga didakwa sebagai penyebab wabak. Ia adalah penjelasan paling mudah untuk memahami punca sesuatu wabak.
Black Death membunuh sekitar 200 hingga 700 juta manusia dalam tempoh kurang 10 tahun, ketika era perhubungan dan pengangkutan masih pada peringkat asas, manakala populasi dunia tidak sesarat hari ini.
Ini bermakna kita lebih berisiko tewas akibat pandemik pada abad moden ini. Justeru, bagaimana caranya kita bangkit melawan?
Ketika COVID-19 muncul dua tahun lalu, kita begitu berharap supaya vaksin COVID-19 segera ditemukan. Dengan kemajuan sains dan teknologi, kini sudah ada beberapa pilihan vaksin, tetapi ramai pula menolaknya. Sekali lagi golongan Yahudi dan sekutunya dipersalahkan.
Golongan antivaksin mendakwa vaksin COVID-19 masih pada peringkat kajian, manakala manusia bukan tikus makmal. Vaksinasi didakwa usaha terancang 'gerakan rahsia berpengaruh' untuk mengurangkan populasi dunia secara mendadak, selain menguasai ekonomi dan politik global.
Idea sekumpulan saintis elit berkonspirasi mencipta vaksin berbahaya untuk meranapkan 8 bilion umat manusia sebenarnya sukar diterima akal. Saintis sebenarnya paling sukar bersetuju sesama sendiri. Jika ujian membuktikan sesuatu vaksin itu membahayakan nyawa, saintis global akan sepakat menolak penggunaannya.
Dunia moden pernah mengharungi wabak Spanish Flu, Ebola, Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan AIDS. Dalam tempoh krisis itu, masyarakat umum dunia lebih mempercayai sains berbanding teori konspirasi.
Teori konspirasi menarik ramai pengikut kerana ia menawarkan penjelasan mudah mengenai isu rumit kepada orang awam. Sejarah manusia diwarnai siri peperangan, krisis, revolusi dan pandemik rumit untuk dijelaskan.
Dengan mempercayai teori konspirasi, seseorang akan memiliki perasaan seolah-olah memahami segalanya. Bagaimanapun, jika kepercayaan kepada teori konspirasi ini berkembang, usaha membanteras COVID-19 akan menjadi sukar.
Kerajaan didakwa tidak telus dan menyembunyikan fakta sedangkan semakin ramai rakyat sakit, bahkan meninggal dunia selepas divaksin. Pelbagai 'bukti' kesan sampingan dan kematian akibat vaksin dikeluarkan.
Penolakan dan propaganda seperti ini mencabar usaha kebangsaan melawan COVID-19, sekali gus membahayakan diri dan orang lain. Sedar atau tidak, apa yang lebih berbahaya daripada virus COVID-19 adalah keengganan semua pihak bekerjasama dalam tempoh getir ini.
Sebenarnya, tidak semua menolak vaksin itu berpendirian antivaksin atau pentaasub teori konspirasi. Ada dalam kalangan mereka itu profesional bidang perubatan dan pakar vaksinasi sendiri. Justeru, perlu ada dialog dan kerjasama dengan kumpulan profesional ini.
Inisiatif Tengku Mahkota Johor (TMJ) untuk memahami kumpulan guru di Johor yang enggan divaksin juga boleh dijadikan contoh. Vaksin bukan segalanya, tetapi menolaknya bulat-bulat akan menambah kesukaran kepada negara pada peringkat nasional dan global.
Saranan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Sri Dr Adham Baba supaya negara mula menghasilkan vaksin buatan tempatan sepatutnya diterima secara serius, bukan disambut dengan sindiran politik dan lelucon. Jika vaksin luar negara menjadi kegusaran, justeru sudah masanya kita bersungguh mencipta penawar atau vaksin formula sendiri yang kita tidak ragu serta buktikan sendiri keberkesanannya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober ini. Kerajaan tidak memaksa setiap rakyatnya untuk divaksinasi, tetapi ia terus digalakkan supaya pelbagai sektor dalam negara dapat dibuka dan kehidupan dipulihkan walaupun dalam norma baharu. Ia juga bagi mengelak sekatan terpaksa dilakukan dalam urusan seharian demi kemaslahatan semua.
Jika kesan jangka panjang vaksin terhadap kesihatan menjadi kekhuatiran, mungkin kita juga perlu memikirkan bahan yang diambil setiap hari.
Makanan diubah secara genetik (GMO), makanan diproses seperti sosej dan daging burger, ikan diawet formalin, buah-buahan disalut lilin, sayur-sayuran disembur racun serangga, perasa makanan tiruan, rokok dan vape, semuanya memberi kesan buruk jangka panjang kepada kesihatan, bahkan menyebabkan begitu banyak kematian.
Bezanya, ia tidak disuntik masuk ke badan. Ia juga tidak 'dipaksa', tetapi majoriti kita mengambilnya. Tidak ramai pula berjuang menolak pengambilan bahan terbabit.
Jika vaksinasi COVID-19 menjadi punca paranoia kerana didakwa usaha terancang mengurangkan populasi manusia di dunia, normalisasi homoseksualisme dan gaya hidup LGBTQ juga usaha halus 'dicucuk' ke dalam pemikiran masyarakat moden supaya manusia tidak berkembang biak.
Ini jauh lebih berbahaya dan menjijikkan berbanding kaedah vaksinasi kerana berpotensi meruntuhkan institusi kekeluargaan, moral dan agama.
Dalam keadaan masih tiada penawar ampuh mencegah dan merawat COVID-19, kita memerlukan masyarakat tidak terlalu paranoid dengan teori konspirasi dan menerima hakikat vaksinasi sebagai kaedah paling berkesan setakat ini, jauh lebih baik daripada tiada vaksin langsung.
Ia terbukti secara saintifik mengurangkan kes pesakit dimasukkan ke hospital. Sungguhpun tidak mampu mengelak individu daripada dijangkiti atau menjangkiti orang lain, apatah lagi mencegah kematian, vaksinasi COVID-19 tidak patut dipandang enteng dan serong.
Penulis adalah Eksekutif Persidangan, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan