18 September 2021

Kerajaan terus tanggung subsidi haji - Ahmad Marzuk

 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sijil perhargaan dan wang tunai kepada pelajar cemerlang, Afikah Saari, 18, yang ditemani ayahnya, Saari Zakaria, 51, di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan sijil perhargaan dan wang tunai kepada pelajar cemerlang, Afikah Saari, 18, yang ditemani ayahnya, Saari Zakaria, 51, di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KOTA BHARU: Kerajaan akan terus menanggung subsidi haji walaupun kosnya dijangka meningkat susulan perubahan prosedur operasi standard (SOP) ibadat itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata kerajaan akan mengekalkan subsidi untuk jemaah haji negara seperti dibiayai selama ini, namun kosnya belum dimuktamadkan lagi.

"Kos subsidi yang akan ditanggung kerajaan itu belum diputuskan lagi, namun peratusannya akan kekal seperti sebelum ini. Kos ibadah haji yang sebenar juga belum diputuskan kerajaan, mungkin akan meningkat berikutan Kerajaan Arab Saudi menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

"Ia berikutan penguatkuasaan SOP susulan pandemik COVID-19 apabila bilangan jemaah terpaksa dihadkan," katanya ketika ditemui media pada program penyampaian bantuan secara pandu lalu sebanyak RM250 setiap seorang kepada pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), di sini hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, kerajaan juga akan memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah kenaikan kos bagi menunaikan ibadat berkenaan.

"Sekian lama kos haji tidak naik kerana kemampuan kerajaan dan kedudukan kewangan kukuh membolehkan kos itu ditanggung. Sebelum ini juga, kerajaan menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun.

"Kerajaan akan berusaha memastikan peningkatan kos haji tidak membebankan jemaah walaupun dijangka meningkat lebih RM30,000, berbanding RM24,000 sebelum ini dengan jemaah hanya perlu membayar RM9,900," katanya.

Semalam, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, kos haji dijangka meningkat pada musim haji akan datang susulan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi untuk menyempurnakan ibadah itu bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Katanya, peningkatan itu berdasarkan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi, sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP seperti penjarakan fizikal, kapasiti bilik hotel dan bas serta jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram.

Syed Saleh menambah, SOP itu memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini saja, jemaah perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi, iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

"Kos itu tidak termasuk penginapan hotel, makan minum dan penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, maka bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini. Sebagai perbandingan, bayaran haji pada 2019 ialah RM9,980 seorang untuk 40 hingga 45 hari menerusi subsidi haji," katanya lagi.

Pada 2019, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah muassasah kali pertama kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. Kos haji tahun itu RM22,900 berbanding RM22,450 musim sebelumnya, namun Malaysia tidak menghantar jemaah pada 2020 dan tahun ini susulan pandemik.

BH/-

Tiada ulasan: