03 Oktober 2021

1.4 tan daun ketum penuhi rumah sewa

 

SEBANYAK 1.4 tan metrik daun dketum bernilai kira-kira RM42,000 memenuhi segenap ruang di sebuah rumah sewa di Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis, semalam.

PADANG BESAR: Polis merampas bungkusan mengandungi kira-kira 1,400 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM42,000 yang memenuhi segenap ruang sebuah rumah sewa di Kampung Kolam, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, mendapati longgokan daun ketum memenuhi ruang rumah berkenaan sehingga ke tandas.

Ketua Polis Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam dan hasil risikan mengenai rumah berkenaan yang dijadikan lokasi pengumpulan daun ketum itu.

Katanya, hasil pemerhatian kira-kira satu jam mendapati tidak ada penghuni atau individu yang pulang ke rumah tersebut.

“Kita menghubungi tuan rumah untuk hadir dan seterusnya merampas daun ketum berkenaan. 

“Siasatan awal, pemilik rumah memaklumkan bahawa urusan sewa rumah berkenaan diuruskan oleh adiknya dan dia tidak tahu menahu mengenai aktiviti berkaitan daun ketum berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua barang rampasan tersebut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan diteruskan bagi mengesan penyewa rumah berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri.

“Pemilik rumah dan adiknya yang menguruskan sewaan rumah akan dipanggil untuk dirakam keterangan,” ujarnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: