03 Oktober 2021

Sabah benar majlis rasmi secara bersemuka

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi kebenaran mengadakan majlis rasmi kerajaan dan swasta secara bersemuka yang akan berkuat-kuasa di Sabah bermula 4 Oktober (esok).

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata antara majlis secara bersemuka yang dibenarkan untuk dilaksanakan termasuklah majlis perasmian, seminar dan bengkel.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, pihaknya juga turut memperincikan beberapa ketetapan tertentu yang harus dipatuhi sebelum melaksanakan majlis atau program secara bersemuka.

"Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel dibenarkan dengan syarat semua yang hadir lengkap divaksin dan kapasiti 50 peratus ruang premis.

"Bagi individu yang belum divaksin atas masalah kesihatan atau perubatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan berdaftar, perlu menjalani ujian pra acara menggunakan kit ujian kendiri sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan," katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 767 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 200,396 kes.

"Sebanyak 14 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Lahad Datu dan Kota Kinabalu manakala masing-masing satu kes di Kudat, Tuaran, Kota Marudu, Penampang, Semporna, Ranau dan Sandakan.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,096 menjadikan jumlah kumulatif 183,694 orang.

"Manakala 2,790 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,078 orang di hospital, 1,689 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 16 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala tujuh orang di fasiliti swasta," katanya.

hmetro/-

Tiada ulasan: