03 Oktober 2021

Jepun sekat Malaysia di separuh akhir

 Perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mengutip mata tunggal negara dalam kekalahan 4-1 di tangan Jepun apabila menewaskan pemain nombor satu dunia, Kento Momota. - Foto ihsan BWF

Perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mengutip mata tunggal negara dalam kekalahan 4-1 di tangan Jepun apabila menewaskan pemain nombor satu dunia, Kento Momota. - Foto ihsan BWF

KUALA LUMPUR: Perjuangan Malaysia dalam saingan Piala Sudirman terhenti di separuh akhir selepas tewas 4-1 di tangan Jepun, awal pagi tadi.

Selepas tampil dengan prestasi menakjubkan ketika menyingkirkan Indonesia di peringkat suku akhir semalam, barisan pemain muda negara terpaksa akur dengan keunggulan Jepun.

Bagaimanapun pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menunjukkan petanda positif apabila dia berjaya mencuri satu mata buat Malaysia menerusi kejayaan menewaskan pemain nombor satu dunia, Kento Momota.

Terdahulu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turun dalam aksi pertama gagal mengekalkan momentum kecemerlangan mereka dalam kejohanan kali ini apabila tewas di tangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 15-21, 14-21.

Skrip sama juga turut dialami pemain perseoragan wanita, S Kisona yang terpaksa akur dengan kehebatan pemain nombor lima dunia, Akane Yamaguchi apabila tewas 7-21, 5-21.

Zii Jia yang juga kapten skuad negara cuba mencetuskan kebangkitan Malaysia apabila dia berjaya menumbangkan Momota menerusi kemenangan straight set 22-20, 21-19.

Kemenangan itu membolehkan pemain berusia 23 tahun berkenaan menebus kekecewaan tewas di tangan Momota ketika aksi peringkat kumpulan, Khamis lalu.

"Selepas melihat Aaron-Wooi Yik tews dalam perlawanan mereka, sebagai kapten saya perlu membangkitkan semula semangat juang rakan sepasukan yang lain.

"Secara peribadi pula, saya akan kalah kepada Momota sebanyak dua kali dalam kejohanan ini jika saya tewas hari ini. Jadi, saya tidak mahu ia terjadi," kata Zii Jia.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang diletakkan harapan untuk menyamakan kedudukan buat skuad negara gagal merealisasikannya apabila tunduk di tangan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo 19-21, 17-21.

Walaupun gagal melangkah ke final, pencapaian mara ke separuh akhir tetap sesuatu yang membanggakan apatah lagi pasukan kali ini dibarisi 'ubi muda' yang pada awalnya diletakkan sasaran untuk mara sehingga suku akhir.

Sebagai rekod, ini adalah kali kedua Malaysia berjaya mara ke separuh akhir selepas edisi 2009 di Guangzhou, China.

Malaysia tidak pernah muncul juara Piala Sudirman sejak kejohanan berpasukan campuran itu diperkenalkan pada tahun 1989.

Jepun akan bertemu China dalam aksi final. China yang juga juara bertahan mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

bharian/-

Tiada ulasan: