03 Oktober 2021

COVID-19: Labuan catat sifar kematian 60 hari berturut-turut

 Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (dua dari kiri), menyaksikan pemberian suntikan vaksin oleh Dr Ismuni (kanan) di Labuan, semalam. - FOTO BERNAMA

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (dua dari kiri), menyaksikan pemberian suntikan vaksin oleh Dr Ismuni (kanan) di Labuan, semalam. - FOTO BERNAMA

LABUAN: Labuan merekodkan sifar kematian akibat COVID-19, selama 60 hari berturut-turut susulan peningkatan aktiviti vaksinasi.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari, berkata penduduk setempat bagaimanapun masih perlu hidup bersama virus berbahaya itu.

"Melihat kepada trend sejak dua bulan lalu, Wilayah Persekutuan ini menyaksikan penurunan ketara kes COVID-19 yang serius susulan langkah meningkatkan aktiviti vaksinasi.

"Labuan dilihat hampir berjaya menghapuskan COVID-19, dengan sekali lagi mencatat sifar kes baharu, hari ini, dan sifar kematian untuk tempoh 60 hari. Bagaimanapun, kita tidak pasti berapa lama kejayaan ini mampu bertahan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, kemunculan varian Delta mengakibatkan lonjakan kes harian dengan jumlah kematian yang tinggi sehingga membawa kepada pembinaan hospital medan.

"Kemunculan varian Delta adalah pengajaran supaya kita sentiasa bersedia mendepani situasi terburuk dan keperluan menjaga pintu masuk ke negara kita bagi mengelak kemungkinan berlaku penyebaran COVID-19 yang berpunca daripada pengunjung," katanya.

Dalam pada itu, Dr Ismuni memaklumkan, suntikan dos kedua vaksin COVID-19 bagi pelajar (berumur 16 dan 17 tahun) bermula Jumaat lalu menjelang pembukaan semula sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka, esok.

"Setakat hari ini, lebih 82 peratus pelajar berumur lingkungan 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin," katanya.

Beliau berkata, Labuan sudah mencapai kadar vaksinasi lengkap 100 peratus bagi populasi dewasa sejak awal bulan lalu.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Rithuan Ismail, berkata pada peringkat awal, pihaknya ingin mengekalkan 'sifar COVID' dengan menghalang kemasukan pelawat luar, mengesan setiap jangkitan serta menutup sempadan pulau terbabit selepas berlaku penularan.

Namun, beliau berkata, langkah itu dilihat tidak sesuai dan boleh memudaratkan kehidupan serta kesihatan mental penduduk.

"Kita perlu menyeimbangkan ekonomi dengan kesejahteraan dan kesihatan rakyat. Kami berharap orang ramai akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam aktiviti harian mereka," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: