22 Oktober 2021

Arak dan penjenamaan baru

 

AKAL ialah kurniaan Allah SWT kepada manusia yang tidak ternilai betapa mahal harganya, kerana akal membezakan manusia dengan makhluk yang lain di atas muka bumi. Malah dengannya juga, manusia diberikan kemuliaan dan penghormatan untuk mentadbir makhluk lain yang lebih besar bentuk jasadnya dan lebih ramai jumlahnya.


Justeru, manusia wajib memelihara akalnya dengan pengisian ilmu dunia dan ilmu akhirat yang bermanfaat. Termasuklah juga pengalaman dan kefahaman dengan mengambil pengajaran yang lebih banyak berpandukan daya berfikir yang diberikan kepada akalnya. Khususnya daya berfikir berkenaan ciptaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

وَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ١٦٣ إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنْفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ١٦٤

“Dan Tuhan kalian ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain daripada Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (163); Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) bahtera yang belayar di lautan dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia membiakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah dan kebesaran-Nya) bagi kaum yang (mahu) memikirkan. (164).” (Surah al-Baqarah: 163-164)

Maka, Islam mengharamkan sebarang penyalahgunaan akal dan lebih mengharamkan perkara yang merosakkannya.

Islam mengharamkan arak dan bahan sepertinya kerana memabukkan, sehingga menghilangkan dan merosakkan akal manusia. Selain itu, ia menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit lain yang membahayakan jasad, meruntuhkan akhlak, sehingga merosakkan keluarga dan masyarakat, serta memesongkan hikmah manusia itu diciptakan.

Bahkan, semua agama pada asalnya juga mengharamkan arak kerana masing-masing berasaskan panduan Islam yang menjadi agama fitrah manusia. Namun, para agamawannya yang terdiri daripada kalangan paderi, pendeta dan sami telah meminda agama asalnya. Sehingga kemudiannya menghalalkan arak, bahkan ada yang memasukkan arak dalam upacara keagamaannya.

Pengharaman arak dalam Islam ditetapkan secara nas yang diketahui umum mengikut ajaran Islam. Penetapan hukum tersebut dilakukan dengan tegas setelah melalui proses tarbiah secara berperingkat. Ia bermula pada zaman awalnya dalam menghadapi masyarakat yang terkenal terlalu ketagihkan arak pada masa jahiliah mereka yang tebal berkarat.

Pada mulanya Allah SWT mewahyukan firman-Nya:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ٢١٩

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: ‘Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.’ Dan mereka bertanya pula kepadamu: ‘Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?’ Katakanlah: ‘Dermakanlah apa-apa yang berlebihan daripada keperluan (kalian). Demikianlah Allah menerangkan kepada kalian ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kalian berfikir.” (Surah al-Baqarah: 219)

Ayat ini menegaskan pendekatan berfikir bahawa mudarat arak sangat besar lebih daripada faedahnya yang sedikit, dan ia sekali-kali tidak mampu menimbus kerugian akibat mudaratnya kepada diri manusia. Maka, menolak perkara yang memudaratkan diri sendiri itu adalah lebih baik.

Dalam pada itu, perbelanjaan bagi menghadapi penyakit dan akibat keburukannya juga lebih mahal daripada harga faedahnya termasuklah cukai itu sendiri. Maka, arak sebenarnya merugikan kehidupan manusia sehinggalah keluarga, masyarakat dan negara. Ayat ini belum lagi mengharamkan arak dengan tegas sepenuhnya.

Seterusnya diwahyukan lagi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ…٤٣

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian menghampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kalian dalam keadaan mabuk, hingga kalian sedar dan mengerti akan apa yang kalian katakan…” (Surah al-Nisa’: 43)

Terdapat kalangan manusia yang masih meminum arak dan mabuk ketika bersolat menghadap Allah SWT, malah mereka juga bercakap dengan percakapan yang salah. Akhirnya, pengharaman arak secara mutlak ditegaskan oleh firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ٩٠

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dan merupakan perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kalian menjauhi perbuatan itu supaya kalian mendapat kejayaan.” (Surah al-Ma’idah: 90)

Oleh itu, ayat ini menasakhkan (membatalkan) ayat-ayat yang terdahulu, bermakna arak telah diharamkan sepenuhnya dengan penegasan akan kejinya arak bagi diri manusia yang dimuliakan oleh Allah SWT. Sehingga Islam meletakkan perbuatan meminum arak dalam kesalahan jenayah yang dijatuhkan hukuman hudud. Hukuman dikenakan dengan sebatan bersifat mendidik pelaku dan mendidik masyarakat supaya meninggalkan arak.

Islam turut menegaskan bahawa semua yang terlibat menghasilkan arak dan bahan sepertinya adalah haram dan berdosa besar, sama ada daripada industri huluan sehinggalah hiliran, walaupun tidak digunakan untuk dirinya dan orang lain. Semua hasilnya tidak mendatangkan keberkatan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Seterusnya diharamkan juga semua bahan yang memabukkan seperti candu, dadah dan lain-lain kerana semuanya merosakkan akal yang berharga bagi diri manusia. Namun, Islam masih mengizinkan penggunaan bahan-bahan lain yang tidak salah, seperti bagi tujuan perubatan dan perubahan daripada arak menjadi cuka untuk makanan setelah proses bertukar menjadi bahan yang lain.

Rasulullah SAW telah memberikan suatu amaran akan berlakunya fitnah pada akhir zaman yang menimpa ke atas umatnya yang membawa kepada kerosakan akhlak mereka akibat arak dan seumpamanya. Sehingga jenama arak sengaja ditukar semata-mata bagi mengelirukan. Perkara ini dinyatakan melalui sabda Baginda SAW:

‌لَيَشْرَبَنَّ ‌نَاسٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌الْخَمْرَ، ‌يُسَمُّونَهَا ‌بِغَيْرِ اسْمِهَا.

“Demi sesungguhnya ada dalam kalangan umatku yang meminum arak, sehingga menamakannya dengan bukan nama asalnya (menukar namanya bagi mengelirukan).” (Riwayat Abu Dawud 3688, Ibn Majah 4020 dan lain-lain)

Adapun dalam masyarakat majmuk yang berbagai-bagai penganut agama, maka pihak yang berkuasa dalam negara Islam tidak boleh menghalang penggunaan dan perniagaannya dalam kalangan bukan Islam. Hal ini disebabkan ia diizinkan oleh agamanya berkonsepkan kebebasan beragama.

Kerajaan yang dikuasai oleh PAS di Kelantan dan Terengganu telah menetapkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang mengharamkan arak kepada penganut Islam. Pada masa yang sama, tidak melarang berlaku perniagaan arak dalam kalangan bukan Islam sahaja.

Sepatutnya pihak yang menjaga urusan agama Islam juga tidak mengizinkan sebarang penyalahgunaan nama yang cuba mengelirukan penganut Islam oleh mana-mana pihak.

Walau apa pun alasan yang diberikan untuk jenamanya, penggunaan nama “Timah” dalam bahasa orang Melayu adalah dekat dengan nama Fatimah al-Zahra’ RA, puteri kesayangan Rasulullah SAW, dan secara halus boleh dianggap menyentuh sensitiviti dalam kalangan penganut Islam. Firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ٢٠٥

“Dan antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). (204); Kemudian, apabila dia pergi (dengan mendapatkan hajatnya), berusahalah dia di bumi untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Surah al-Baqarah: 204-205)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Rabi’ul Awwal 1443 / 22 Oktober 2021 – HARAKAHDAILY 22/10/2021

Tiada ulasan: