22 Oktober 2021

Zii Jia ke suku akhir Terbuka Denmark

 Lee Zii Jia akan menentang Viktor Axelsen malam ini pada suku akhir Terbuka Denmark. - AFP

Lee Zii Jia akan menentang Viktor Axelsen malam ini pada suku akhir Terbuka Denmark. - AFP

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke suku akhir Terbuka Denmark selepas menewaskan rakan senegara, Liew Daren 21-11, 21-14 dalam aksi pusingan kedua di Odense, malam tadi.

Bagaimanapun, pilihan ketujuh kejohanan itu berdepan tugas mencabar dalam misi memburu tempat ke separuh akhir apabila dijadual bertemu pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen dari Denmark, malam ini.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu adalah pada final Seluruh England 2021, Mac lalu yang menyaksikan Zii Jia muncul juara.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut melangkah ke suku akhir selepas mengejutkan pilihan ketujuh kejohanan dari India, Satwiksairaj Rakireddy-Chirag Shetty 14-21, 21-15, 21-15.

Mereka akan berrdepan pasangan Indonesia yang juga pilihan keempat, Fajar Alfian-Muhamad Rain Ardianto untuk aksi suku akhir.

Beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mengiringi Izzuddin-Sze Fei ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Hall 21-17, 21-11 dan akan bertemu Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dari Jerman untuk merebut tiket ke separuh akhir.

Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menundukkan gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 18-21, 21-18, 21-13 untuk menempah pertemuan dengan pilihan keempat, Yuta Watanabe-Arisan Higashino dari Jepun di suku akhir.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

bharian/-

Tiada ulasan: