22 Oktober 2021

80,000-180,000 pekerja kesihatan maut akibat COVID-19

 Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan antara 80,000 hingga 180,000 pekerja penjagaan kesihatan meninggal dunia akibat COVID-19 antara Januari 2020 hingga Mei tahun ini.

Berikutan itu badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan kumpulan berkenaan perlu diberi keutamaan dalam program vaksinasi bersama kumpulan rentan.

Bagaimanapun jutaan pekerja kesihatan masih belum divaksinasi yang didakwa akibat beberapa negara dan syarikat mengawal bekalan vaksin global.

Menurut laporan WHO, daripada 135 juta kakitangan kesihatan di seluruh dunia, antara 80,000 hingga 180,000 pekerja kesihatan dan penjagaan maut akibat COVID-19 antara Januari 2020 hingga Mei 2021.

Sambil mengkritik ketidaksaksamaan dalam pemberian vaksin global, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pekerja penjagaan kesihatan perlu diberi keutamaan dalam program vaksinasi.

"Data daripada 119 negara menunjukkan purata dua daripada lima pekerja kesihatan dan penjagaan global lengkap vaksin. Tetapi sudah pasti purata yang belum menerima vaksin lebih besar.

"Di Afrika, kurang satu daripada 10 kakitangan kesihatan lengkap vaksin, manakala di negara berpendapatan tinggi lebih 80 peratus pekerja kesihatan divaksin sepenuhnya," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata WHO menggesa semua negara memastikan kesemua pekerja kesihatan dan penjagaan diberi keutamaan dalam pemberian vaksin COVID-19 bersama kumpulan berisiko.

WHO menggesa setiap negara memberikan vaksin kepada 40 peratus populasi negara menjelang akhir tahun ini tetapi Tedros memberi amaran 82 negara berdepan risiko gagal mencapai sasaran itu berikutan kekurangan bekalan.

Di negara berpendapatan tinggi yang dikategorikan oleh Bank Dunia, 133 dos dibekalkan kepada 100 penduduk, manakala di 29 negara berpendapatan paling rendah, angka itu menurun kepada lima dos.

Bekas Perdana Menteri British, Gordon Brown yang kini duta WHO untuk kewangan kesihatan global berkata, sidang kemuncak G20 pada 30 hingga 31 Oktober di Rom akan menjadi titik kritikal dalam memerangi wabak itu. - AFP

Tiada ulasan: