22 Oktober 2021

30 pelajar Nigeria dibebaskan selepas empat bulan diculik

  Pelajar menjadi sasaran penculikan kumpulan penjenayah untuk mendapatkan wang tebusan. - Foto fail AFP

Pelajar menjadi sasaran penculikan kumpulan penjenayah untuk mendapatkan wang tebusan. - Foto fail AFP

ABUJA: Seramai 30 pelajar yang diculik kumpulan penjenayah lebih empat bulan lalu di barat laut Nigeria dibebaskan, menurut kerajaan tempatan, semalam.

Sejak Disember tahun lalu, lebih 1,000 pelajar diculik kumpulan penjenayah bersenjata berat yang dikenali masyarakat tempatan sebagai penyamun.

"Hari ini, seramai 30 pelajar dari Kolej Kerajaan Persekutuan, Birnin Yauri tiba di Birnin Kirbi, ibu kota Kebbi selepas dibebaskan," kata jurucakap kerajaan tempatan, Yahaya Sarki dalam kenyataan.

Bagaimanapun tidak dijelaskan sama ada wang tebusan dibayar atau sebaliknya.

Kumpulan bersenjata itu menyerang Kolej Kerajaan Persekutuan yang terletak di Kebbi pada 17 Jun lalu.

Sementara itu, polis berkata, lelaki bersenjata itu membunuh seorang pengawal keselamatan serta mencederakan seorang pelajar, bagaimana beliau menolak untuk memaklumkan jumlah keseluruhan yang diculik itu.

"Usaha membebaskan mereka yang diculik terus dijalankan," kata Sarki.

Menurut penduduk tempatan, penyerang melepaskan tembakan yang mengakibatkan lima cedera termasuk empat pelajar.

Mereka turut menggeledah asrama serta merosakkan barang peribadi pelajar.

Kebanyakan pelajar yang diculik di Nigeria dibebaskan selepas beberapa minggu atau berbulan-bulan dikurung.

Kumpulan penyamun itu sudah lama menyasarkan kawasan tengah dan barat laut, menyerang kampung, mencuri ternakan serta melakukan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, mereka lebih menyasarkan sekolah, menculik pelajar dan menyembunyikan mangsa ke dalam hutan untuk mendapatkan wang tebusan. - AFP

Tiada ulasan: