22 Oktober 2021

Kossan raih untung RM528.2 juta

 Kossan Rubber Industries Bhd

Kossan Rubber Industries Bhd

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Kossan Rubber Industries Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 melonjak kepada RM528.2 juta daripada RM348.74 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan lalu.

Perolehan meningkat 26.07 peratus kepada RM1.3 bilion daripada RM1.03 bilion bagi tempoh yang sama.

Prestasi perolehan itu dipacu oleh perolehan lebih tinggi daripada bahagian sarung tangan dan bilik bersih namun diimbangi oleh perolehan rendah daripada bahagian produk getah teknikal (TRP) sebanyak 21.43 peratus kepada RM36.51 juta.

Perolehan bahagian sarung tangan menokok 28.64 peratus kepada RM1.22 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2021 daripada RM946.57 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2020 susulan harga jualan purata (ASP) lebih tinggi.

"Prestasi pada suku ketiga terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor selain kilang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti tenaga kerja sebanyak 60 peratus sahaja berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Kossan menjelaskan, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap sarung tangan, ia memulakan pembinaan Kilang 20 dan akan beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2021.

Ia juga menambah, prestasi bahagian sarung tangan bagi suku akan datang sememangnya berada dalam jangkaan dan prestasi bagi tempoh kewangan penuh 2021 akan memuaskan.

"Syarikat turut sentiasa mempunyai tumpuan dalaman dan bersedia untuk tempoh pascapandemik dengan penekanan kepada kecekapan operasi, kecemerlangan pembuatan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.

"Ketika pasca-pandemik, permintaan terhadap sarung tangan akan terus mengalami pertumbuhan struktur susulan standard penjagaan kesihatan dan kesedaran mengenai kebersihan yang lebih baik dalam sektor perubatan dan bukan perubatan," tambahnya.

Bagi bahagian TRP, Kossan menjangkakan perbelanjaan aktiviti ekonomi dan infrastruktur di peringkat domestik dan serantau yang meningkat secara beransur-ansur akan terus menjadi petanda baik bagi segmen infrastruktur dan automotif.

Bahagian ini diunjurkan kekal mencatatkan keuntungan pada tahun kewangan 2021, jelasnya.

"Berlandaskan hubungan jangka panjang dengan pelanggan kami dan permintaan berterusan terhadap produk syarikat dalam bahagian sarung tangan dan bilik bersih, ditambah dengan bahagian TRP yang kukuh, pihak pengurusan yakin tahun kewangan 2021 akan menjadi tempoh yang amat memberangsangkan bagi syarikat berbanding prestasi tahun kewangan 2020," menurutnya.

-BERNAMA

Tiada ulasan: