DAMSYIK: Kerajaan Syria menjatuhkan hukuman mati ke atas 24 tertuduh kerana sengaja mencetuskan kebakaran belukar sehingga menyebabkan kematian tahun lalu.
Mereka dituduh melakukan keganasan yang menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur negara selain harta benda awam serta swasta melalui penggunaan bahan mudah terbakar, kata agensi berita rasmi SANA.
Selain itu, 11 lagi tertuduh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan melakukan kerja berat, empat dikenakan hukuman penjara dan lima tertuduh bawah umur menerima hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun atas kesalahan sama.
Menurut laporan SANA, identiti mereka tidak didedahkan dan tiada butiran diberikan mengenai di mana dan bagaimanakah hukuman mati dilaksanakan.
Semua tertuduh dikenal pasti hujung tahun lalu dalam siasatan dijalankan Kementerian Dalam Negeri berhubung kebakaran belukar di wilayah Latakia, Tartus dan Homs.
Mereka mengaku melakukan kebakaran di beberapa lokasi di tiga wilayah dan mereka juga mengaku mengadakan pertemuan untuk merancang beberapa kebakaran pada September dan Oktober tahun lalu, mengikut laporan SANA.
Menurut agensi itu, 187 kebakaran direkodkan, yang menjejaskan 280 pekan dan kampung pada tahun lalu.
Mereka menghancurkan 13,000 hektar tanah pertanian dan 11,000 hektar hutan selain merosakkan lebih 370 rumah, dengan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera.
Undang-undang Syria masih memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan tertentu termasuk keganasan, pembakaran dan lari daripada khidmat tentera tentera, menurut kumpulan hak asasi Amnesty International (AI).
Dalam laporan hukuman mati terbaru AI yang diterbitkan tahun ini, kumpulan itu mengatakan pihaknya tidak dapat membuktikan maklumat yang menunjukkan hukuman mati dilakukan di Syria pada tahun lalu.
Bagaimanapun, kumpulan itu menyatakan pihaknya tidak mempunyai maklumat mencukupi untuk memberikan angka minimum yang boleh dipercayai.
Kebiasaannya, hukuman mati di Syria dilaksanakan dengan cara menggantung tertuduh. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan