22 Oktober 2021

Cuepacs mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

 

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mencadangkan penetapan kadar gaji minimum kakitangan kerajaan dinaikkan kepada RM1,800 sebulan dalam pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober nanti.

Presidennya, Adnan Mat berkata, gaji permulaan sektor kerajaan RM1,200 sebulan pada masa ini tanpa mengambil kira lain-lain elaun jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

“Kerajaan boleh memberi penekanan dalam penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan melalui semakan semula Sistem Saraan Malaysia yang baharu.

“Jika gaji minimum ditetapkan kepada RM1,800 sebulan dan dicampur dengan elaun sara hidup (Cola) RM300, imbuhan perumahan RM300 dan elaun perkhidmatan awam RM110, ia membo­lehkan penjawat awam menikmati pendapatan selesa melebih daripada PGK negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jelasnya, permintaan Cuepacs itu juga selaras dengan hasrat kerajaan mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat kepada RM10,000 sebulan pada tahun 2025.

Katanya, ia juga boleh menjadi permulaan kepada kerajaan dalam merangka jalan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah yang ketika ini sekitar RM7,901 pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Cuepacs berharap kerajaan menyediakan peruntukan khas dalam belanjawan kali ini bagi mewujudkan sistem saraan yang baharu kepada kepada sektor perkhidmatan awam.

Tambahnya, pelaksanaan sistem itu perlu dilakukan bagi memastikan ia te­rus relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem yang diwujudkan 19 tahun lalu.

“Rundingan demi rundingan antara Cuepacs dengan kerajaan sebelum ini masih belum mencapai keputusan yang baik bagi mewujudkan Sistem Saraan baharu untuk perkhidmatan awam.

“Diharapkan dengan memasuk­kan peruntukan khas itu memberi sinar kepada penjawat awam untuk menikmati sistem saraan yang sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara,” jelasnya.

Kosmo.-

Tiada ulasan: