04 Oktober 2021

China julang Piala Sudirman

 Pemain perseorangan lelaki China, Shi Yuqi (kanan) berjaya menyumbang satu mata buat pasukan itu selepas menewaskan Kento Momota dalam aksi final Piala Sudirman sebentar tadi. Gambar ihsan BWF

Pemain perseorangan lelaki China, Shi Yuqi (kanan) berjaya menyumbang satu mata buat pasukan itu selepas menewaskan Kento Momota dalam aksi final Piala Sudirman sebentar tadi. Gambar ihsan BWF

KUALA LUMPUR: China membuktikan pasukan itu masih kuasa besar badminton dunia apabila merangkul gelaran Piala Sudirman buat kali kedua berturut-turut dan ke-12 secara keseluruhan selepas menewaskan Jepun 3-1 dalam aksi final di Vantaa, Finland, sebentar tadi.

Beregu lelaki China, He Ji Ting-Zhaou Hau Dong menyumbang mata pertama buat pasukan itu selepas menewaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-17, 14-21, 21-16.

Bagaimanapun, Jepun berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain perseorangan wanita mereka, Akane Yamaguchi yang menewaskan Chen Yu Fei 21-19, 21-16.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota terus berdepan nasib malang apabila tewas di tangan Shi Yuqi yang kembali meletakkan China di depan menerusi kemenangan 21-13, 8-21, 21-12.

Beregu wanita China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan memastikan gelaran juara milik pasukan itu apabila mengutip mata ketiga selepas menundukkan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo 21-17, 21-16.

China tampil pada kempen kali ini sebagai juara bertahan selepas muncul juara pada edisi 2019 di Nanning.

Sejak kejohanan berpasukan campuran itu diperkenalkan pada 1989, hanya tiga negara berjaya muncul juara dengan China 12 kali muncul juara diikuti Korea Selatan (empat kali) dan Indonesia (satu kali).

bharian/-

Tiada ulasan: