04 Oktober 2021

Sabah benarkan majlis perasmian kerajaan, swasta mulai hari ini

  Datuk Masidi Manjun.

Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Sabah membenarkan majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel mulai hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun, berkata kebenaran itu adalah mengikut syarat iaitu semua yang hadir lengkap divaksin dengan kapasiti 50 peratus ruang premis.

"Bagi individu belum divaksin atas masalah kesihatan atau perubatan yang disahkan pegawai perubatan berdaftar, perlu menjalani ujian pramajlis menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir disaksikan penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal tiga angka dengan 767 kes, menurun berbanding kelmarin sebanyak 784 kes.

Beliau berkata trend penurunan kumulatif kes Sabah semalam sejajar dengan jumlah daerah yang mencatatkan penurunan iaitu 15 daerah, manakala 11 daerah lain mencatatkan sedikit peningkatan dan satu daerah iaitu Kinabatangan mengekalkan catatan sebagaimana kelmarin.

Tiada ulasan: