04 Oktober 2021

Doktor temukan lebih 1kg paku, skru dalam perut lelaki

 

OBJEK ditemukan ketika pembedahan. - LRT.IT


VILNIUS: Sekumpulan pakar bedah di Lithuania terkejut selepas menemukan lebih satu kilogram (kg) paku dan skru di dalam perut seorang pesakitnya yang mengalami kesakitan.

Bagaimanapun, pasukan doktor tersebut berjaya mengeluarkan paku dan skru daripada perut lelaki itu menerusi pembedahan.

Lapor The Guardian, lelaki itu yang identitinya tidak didedahkan, dimasukkan ke sebuah hospital di Klaipeda di bandar pelabuhan Baltic kerana mengalami sakit perut.

Lelaki itu mengaku mula menelan paku dan skru selepas berhenti mengambil minuman alkohol.

Imbasan X-ray perut lelaki itu menunjukkan beberapa barangan logam dikesan sehingga ada yang berukuran hingga 10 sentimeter (cm).

“Ketika proses pembedahan dijalankan selama tiga jam dengan kawalan X-ray, semua benda asing termasuk bahagian yang kecil telah dikeluarkan daripada perut pesakit,” kata doktor bedah, Sarunas Dailidena.

Pihak pengurusan hospital kemudian mendedahkan sekeping gambar yang memaparkan dulang pembedahan dipenuhi dengan paku dan skru.

“Kami tidak pernah melihat sesuatu seperti ini,” kata ketua bedah Hospital Klaipeda, Algirdas Slepavicious.

Menurut doktor, lelaki itu mula menelan barangan logam sejak sebulan lalu selepas berhenti minum alkohol.

Katanya, pesakit kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan itu. – AGENSI

Tiada ulasan: