04 Oktober 2021

Dokumen sulit dedah akaun luar pesisir pemimpin dunia

 Siasatan dipanggil ‘Pandora Papers’  membabitkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian. - Foto AGENSI

Siasatan dipanggil ‘Pandora Papers’ membabitkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian. - Foto AGENSI

NEW YORK: Puluhan ketua negara dan kerajaan, dari Jordan hingga Azerbaijan, Kenya dan Republik Czech, menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir untuk menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, menurut siasatan baru yang dilakukan oleh konsortium media ICIJ.

Siasatan dipanggil 'Pandora Papers' itu - membabitkan kira-kira 600 wartawan termasuk The Washington Post, BBC dan The Guardian - berdasarkan pembocoran 11.9 juta dokumen sulit daripada 14 syarikat khidmat kewangan di seluruh dunia.

Sekitar 35 pemimpin sedia ada dan bekas pemimpin yang dinyatakan dalam dokumen terkini yang dianalisis oleh ICIJ (Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan) - berdepan tuduhan termasuk rasuah, pengubahan wang haram dan mengelak cukai global.

ICIJ menekankan, di kebanyakan negara, ia bukan kesalahan untuk menyimpan aset di luar pesisir atau menggunakan syarikat tersedia untuk melakukan urus niaga rentas sempadan.

Namun, pendedahan seperti ini tidak kurang memalukan bagi pemimpin yang mungkin pernah berkempen secara terbuka untuk menentang perbuatan mengelak cukai dan rasuah, atau memperjuangkan langkah berjimat cermat.

Antaranya, dokumen itu mendedahkan bagaimana raja Jordan, Raja Abdullah II, membentuk satu rangkaian syarikat luar pesisir dan tempat perlindungan cukai untuk mengumpul empayar hartanah AS$100 juta (RM417.14 juta) dari Malibu, California ke Washington dan London.

Kedutaan Jordan di Washington bagaimanapun enggan mengulas.

Namun BBC memetik peguam raja itu sebagai berkata, kesemua hartanah dibeli dengan harta peribadi dan adalah amalan biasa bagi individu berprofil tinggi untuk membeli hartanah menerusi syarikat luar pesisir atas sebab privasi dan keselamatan.

Keluarga dan rakan sekutu Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev - yang sekian lama dituduh rasuah di negara Asia tengah itu - didakwa terbabit secara sulit dalam urus niaga hartanah di Britain bernilai ratusan juta.

Dokumen itu juga menunjukkan bagaimana Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis - yang berdepan pilihan raya minggu ini - gagal mengisytiharkan syarikat pelaburan luar pesisir yang digunakan untuk membeli sebuah istana bernilai AS$22 juta (RM91.77 juta) di selatan Perancis.

Secara keseluruhan, ICIJ menemui kaitan antara hampir 1,000 syarikat di tempat perlindungan cukai luar pesisir dengan 336 tokoh politik dan pegawai kanan awam, termasuk puluhan ketua negara dan pemerintah yang masih berkhidmat, pemimpin negara, menteri kabinet, duta besar dan lain-lain.

Lebih dua pertiga syarikat ditubuhkan di Kepulauan Virgin, Britain.

Bagi Maira Martini, seorang pakar dasar di Transparency International, siasatan terbaru itu sekali lagi menawarkan 'bukti yang jelas mengenai bagaimana industri luar pesisir menggalakkan rasuah dan jenayah kewangan, sambil menyekat keadilan'.

"Model perniagaan ini tidak boleh diteruskan," katanya.

Antara nama lain yang didedahkan siasatan ICIJ itu termasuk mantan perdana menteri Britain, Tony Blair, kenalan rapat Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, kenalan pemimpin Russia Vladimir Putin dan tokoh hiburan dan sukan seperti penyanyi Shakira dan legenda kriket India, Sachin Tendulkar.

'Pandora Papers' adalah dokumen terbaru dalam siri pembocoran besar-besaran dokumen kewangan ICIJ, dari LuxLeaks pada 2014, hingga Kertas Panama 2016 - yang mencetuskan peletakan jawatan perdana menteri Iceland dan membuka jalan bagi pemimpin Pakistan untuk disingkirkan.

Ia diikuti oleh Kertas Paradise pada 2017 dan fail FinCen pada 2020.

Dokumen di sebalik siasatan terbaru itu diambil daripada syarikat khidmat kewangan di negara termasuk Kepulauan Virgin Britain, Panama, Belize, Cyprus, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Switzerland. - AFP

bharian/-

Tiada ulasan: