20 Oktober 2021

Inilah kejayaan kita – Presiden PAS

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: PAS menganggap penyatuan parti politik di bawah Gagasan Sejahtera, Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah kejayaan dalam usaha penyatuan parti politik Islam di Malaysia.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata usaha menyatukan orang Islam bukan satu kerja yang mudah memandangkan orang Islam telah lama dipengaruhi fikiran penjajah.

Katanya, sebahagian orang Islam menganggap Islam hanyalah agama ketika beribadat sahaja, bukan agama yang sempurna.

“(Situasi ini berlaku) sehingga dalam kalangan orang Islam sendiri bercakap dan menghina hukum Islam kerana kejahilan mereka. (Oleh itu), kita terpaksa mengubati kejahilan ini.

“Alhamdulillah, hasil daripada kegigihan kita, kita telah berjaya menyelamatkan (orang Islam) daripada kejahilan ini,” katanya dalam ucapan khas sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan di laman rasmi Facebooknya, semalam.

Menurut Tuan Guru, pandangan mengenai agama tiada kaitan dengan politik sudah tidak kedengaran lagi, dan jika ada sekalipun hanya isu terpencil.

Katanya, pendapat bahawa hukum islam tidak sesuai di dalam politik juga sudah tidak berani diluahkan secara umum lagi.

Justeru itu, kata Tuan Guru, keadaan itu menjadi indikasi kejayaan PAS walaupun bukan semua rakyat Malaysia menjadi ahli PAS.

Menurutnya, kejayaan itu dapat dicapai melalui kerjasama yang dibina melalui parti politik Islam di tanah air bermula dengan Gagasan Sejahtera, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Bermula dengan Gagasan Sejahtera, kita masuk pilihan raya secara bersendirian, dan kita berjaya memerintah dalam keadaan terus mempertahankan Kelantan, mengambil alih semula Terengganu dan memimpin semula kerajaan Kedah, ini kejayaan kita.

“Kemudian kita berjaya mengambil alih kerajaan pusat bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional, iaitu apabila PAS dan Umno mengajak parti Melayu yang berada di luar kerajaan untuk bersama,” katanya.

Menurut Tuan Guru lagi, tidak cukup dengan parti di luar kerajaan, Muafakat Nasional turut mengajak parti di dalam kerajaan, iaitu Bersatu untuk bersama dengan Muafakat Nasional.

Katanya, muafakat yang dijalinkan mestilah turut disertai oleh semua kumpulan islam, bumiputra dan orang bukan Islam untuk diajak bersama, bukan sekadar Umno dan Bersatu.

“Semua kita ajak bergabung, kalau sebahagian sahaja (yang diajak), itu tidak selari dengan sifat dan ciri parti Islam. Kita mengajak Muafakat Nasional disertai oleh tiga parti Melayu Islam yang besar untuk bersama.

“Oleh kerana kita memerlukan kerjasama dengan kalangan orang bukan islam, termasuk di Sabah dan Sarawak, maka kita tubuhkan Perikatan Nasional.

“Perikatan Nasional adalah tonggak yang penting sehingga kita berjaya mengambil alih pemerintahan negara sehingga hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/10/2021

Tiada ulasan: