20 Oktober 2021

Hanya guru lengkap vaksin dibenarkan mengajar bersemuka

 

Radzi Jidin

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah menetapkan bahawa hanya guru yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah itu termasuk dalam penyediaan pelan komprehensif pembukaan sekolah bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka dalam keadaan selamat.

Radzi berkata, dalam merangka pelan itu, KPM telah mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan.

“Pelan itu juga dibuat melalui analisis terperinci bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta diselarikan dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi memastikan kelancaran pengoperasian sekolah, KPM telah menyediakan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 sebagai rujukan kepada jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir serta guru,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin mengetahui apakah bentuk kajian, analisis risiko situasi Covid-19 dan aspek-aspek yang dipertimbangkan oleh pihak Kementerian bagi menentukan keputusan pembukaan sekolah.

Dalam pada itu, Radzi berkata, garis panduan pengurusan itu termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah termasuk murid serta memastikan sistem pengudaraan yang baik di dalam kelas.

“Selain itu, guru-guru juga perlu memastikan murid makan di ruang terbuka dengan seliaan guru bagi kelas yang menggunakan penyaman udara selain turut melaksanakan tiga kali ujian kendiri Covid-19 kepada murid yang akan pulang ke sekolah asrama sepenuhnya.

“Ujian kendiri Covid-19 juga perlu dilaksanakan satu kali bagi murid asrama harian semasa pendaftaran masuk,” tambahnya.

Selain itu, KPM juga mengambil ketetapan untuk mengehadkan kapasiti murid di sekolah pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan.

“Bagi tujuan tersebut, kaedah sistem penggiliran murid hadir digunakan bagi mengehadkan kapasiti murid di dalam kelas kepada 50 peratus daripada jumlah murid dalam kelas tersebut.

“Selain itu juga, hanya anggota kumpulan pelaksana (AKP) serta pekerja perkhidmatan sokongan (PPS) yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan memasuki dan bekerja di dalam kawasan sekolah,” ujarnya.

Katanya, KPM juga memantau rapi kadar vaksinasi murid di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja). – K! ONLINE

Tiada ulasan: