RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sudah membatalkan had usia 50 tahun dikenakan bagi jemaah antarabangsa yang mahu mengerjakan umrah.
Sebelum ini, kementerian itu menetapkan had usia antara 18 hingga 50 tahun bagi jemaah ingin menunaikan umrah di bawah visa umrah, bersolat di Masjidil Haram, Raudah di Masjid Nabawi dan ziarah Makam Nabi, menurut akhbar Saudi Gazette.
Di bawah peraturan baru itu, jemaah warga emas dari luar negara boleh datang menunaikan umrah asalkan memenuhi langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan bagi membendung penularan coronavirus.
Di bawah visa umrah, jemaah asing di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan menunaikan umrah.
Kementerian Haji dan Umrah baru-baru ini melancarkan perkhidmatan mengeluarkan visa umrah dan akses ke Masjidil Haram di Makkah serta Masjid Nabawi di Madinah bagi mereka yang datang dari luar melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna yang dimuat naik di telefon pintar jemaah haji.
Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS), sebelum ini menyatakan jemaah Singapura yang ingin menunaikan umrah tidak perlu bimbang dengan syarat usia itu kerana ia hanya dilaksana bagi pemegang visa umrah ke negara itu.
Ini kerana selain menggunakan visa umrah, jemaah dari Singapura juga boleh menunaikan umrah dengan menggunakan visa ziarah yang tidak mengenakan had umur selagi mereka memenuhi keperluan vaksin.
Sementara itu, jemaah haji masih diwajibkan memakai pelitup muka dan membuat tempahan untuk menunaikan umrah dan solat bagi mengesahkan status imuniti mereka di pintu masuk dua masjid itu.
Penjaga dua masjid suci itu, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, baru-baru ini mengeluarkan perintah membenarkan penggunaan kapasiti penuh Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Khamis lalu, kerajaan Saudi juga menarik balik larangan perjalanan ke atas enam negara, termasuk Indonesia, Pakistan, India dan Mesir berkuat kuasa 1 Disember ini.
Keempat-empat negara terbabit pernah menghantar jumlah jemaah terbesar sebelum penularan wabak COVID-19. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan