Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Bukit Gunung yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelawat bakal dipromosikan sebagai satu lagi pusat tarikan pelancongan tahun depan.
Bukit yang terletak berhampiran simpang empat pekan Gunung itu berkeluasan hampir 200 hektar mempunyai nilai tarikannya sendiri dengan keindahan alam semula jadi.
Dengan ketinggian kira-kira 600 meter serta jalan raya yang mengelilingi muka bumi itu boleh menjadi acara yang baik bagi aktiviti larian dan pendakian.
Sehubungan itu, Majlis Tindakan Dun (MTD) Jelawat dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunung menganjurkan ‘Monsoon Hill Hiking Run Challenge’.
Biarpun aktiviti itu sudah diadakan secara kecil-kecilan, namun dengan usahasama kerajaan negeri, ia mampu dinaik taraf sebagai pusat pelancongan baru.
Larian sejauh lima kilometer dan dua kilometer mendaki bukit, memberi cabaran berbeza kepada peserta kerana tidak terdapat lagi kemudahan lengkap dan sempurna.
Malah bukit berkenaan juga mempunyai sebuah gua yang dinamakan Gua Asmara, dalamnya ada air mengalir, yang mampu menjadi tambah nilai terhadap lokasi tersebut.
Aktiviti itu sebelum ini dilakukan oleh KRT Gunung secara kecil-kecilan dengan laluan yang dipandu oleh tali untuk menuju puncak Bukit Gunung.
Pada peringkat awal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Abdul Azziz Kadir berkata, pihaknya memang berhasrat untuk memajukannya sebagai pusat pelancongan.
Namun pihaknya tidak jelas mengenai kaedah serta bagaimana hasrat itu boleh diterjemahkan bagi mempromosikannya dengan pembangunan pekan Gunung.
Malah bermula tahun hadapan, katanya, Monsoon Hill Hiking Run Challenge akan dijadikan aktiviti tahunan dengan penyertaan lebih ramai peserta dalam dan luar.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) memutuskan untuk memasukkannya dalam kalendar tahunan pelancongan Kelantan.
“Benda ini disebut sendiri oleh Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman bagi mempromosikan kawasan ini.
“Bermula tahun depan akan dijadikan acara tahunan apabila tiba musim Monsun Timur Laut, akan diadakan Monsoon Hill Hiking Run Challenge ini, 2022 pula,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan