29 November 2021

Perjanjian ialah 5% royalti minyak, bukannya wang ihsan, kata Ku Li

 

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Putrajaya perlu menghormati perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas berhubung pembayaran tunai 5% royalti minyak kerana menyerahkan hak minyak dan gas kepada syarikat itu.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pembayaran wang ihsan kepada negeri tidak termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum.

Ahli politik veteran itu berkata, perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri ialah syarikat minyak negara itu membuat pembayaran tunai 5% kepada negeri untuk menyerahkan hak hidrokarbon atau minyak dan gas kepada Petronas.

Beliau mengulangi pembayaran wang ihsan langsung tidak dinyatakan dalam akta itu, manakala 5% ialah hasil pengiraan bekas Ketua Menteri Sarawak, Rahman Ya’kub, yang dipersetujui bersama oleh negeri terbabit dan Petronas.

“Di bawah Akta Kemajuan Petroleum dan surat ikatan peletakhakan yang merupakan sebahagian daripada akta itu, anda tidak boleh membayar wang ihsan kerana tiada peruntukan untuk perkara itu di bawah akta berkenaan.

“Perjanjian itu antara kerajaan negeri berkaitan di Malaysia dengan Petronas, ia bukannya perjanjian antara kerajaan negeri berkaitan dengan kerajaan persekutuan,” katanya dalam wawancara dengan FMT.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mungkin tidak diberikan taklimat menyeluruh mengenai undang-undang itu.

Katanya, Petronas mempunyai kewajipan membayar 5% kepada setiap negeri dalam persekutuan yang menyerahkan hak minyak dan gas mereka kepada syarikat itu.

“(Rahman) ialah orang yang menawarkan formula ini supaya kita boleh meletakkan semua sumber minyak negara ke dalam Petronas, organisasi tunggal milik rakyat Malaysia, dan bukannya mana-mana negeri atau entiti.

“Dan itu ialah pengiraan ringkas. Daripada wang yang diletakkan dalam Petronas, selepas semua kos diambil kira, Petronas kemudian membayar 5% kepada setiap negeri dalam bentuk pembayaran tunai setiap tahun. Tiada keraguan mengenainya.

Baru-baru ini, Zafrul dilaporkan berkata, Putrajaya tidak akan membayar royalti minyak kepada mana-mana negeri di Semenanjung, termasuk Kelantan, sebaliknya ia akan terus menerima wang ihsan untuk petroleum yang dihasilkan di luar persisir pantainya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan terkejut dengan kenyataan Zafrul itu kerana kerajaan negeri itu mengharapkan bayaran tunai itu sejajar perjanjian yang ditandatangani Petronas pada 1975.

Permulaan wang ihsan

Tengku Razaleigh berkata, pembayaran wang ihsan bermula “secara tiba-tiba” apabila pentadbiran Dr Mahathir Mohamad memutuskan tidak meneruskan bayaran royalti 5% kepada Terengganu, selepas PAS mengambil alih kerajaan negeri itu pada hujung 1990-an.

“Pucuk pimpinan Umno memutuskan kami tidak akan membayar mereka kerana bimbang mereka mungkin menggunakan wang ini secara salah, malah mungkin menggunakannya untuk tujuan politik.”

Tetapi, wang ihsan berbeza sama sekali daripada pembayaran tunai 5% kerana sukar untuk memastikan jumlah itu datang dari mana.

Pada masa sama, katanya, bayaran 5% itu berdasarkan formula Rahman yang dipersetujui negeri dan Petronas.

“Saya membawa draf perjanjian surat ikatan peletakhakan ini ke setiap negeri untuk diteliti kerajaan negeri kerana kita mahukan perpaduan. Dan semua kerajaan negeri mengambil masa mengkajinya.

“Kemudian saya ke setiap negeri sekali lagi untuk berunding, bukan dengan Ketua Menteri atau Menteri Besar sahaja, tetapi dengan Exco juga dan mereka sangat gembira menerima apa yang dicadangkan oleh Sarawak.”

Beliau bertegas tidak mengatakan pembayaran wang ihsan itu adalah baik atau sebaliknya, tetapi Putrajaya perlu menghormati perjanjian sedia ada antara Petronas dan negeri.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ia menunjukkan kerajaan persekutuan tidak mempedulikan perjanjian yang dimeterai negeri berdaulat dengan persekutuan Malaysia, yang boleh menghalang pelabur asing.

“Jika anda tidak menghormati perjanjian mudah sesama anda yang ditandatangani suatu masa dahulu, bagaimana anda mengharapkan orang asing yang mahu datang dan melabur di sini menerima sikap sebegini?

“Jika Putrajaya mahu terus membayar di bawah skim wang ihsan ini kepada negeri berkaitan, mereka boleh teruskan.

“Tetapi, saya hanya katakan di bawah perjanjian surat ikatan peletakhakan, yang merupakan sebahagian akta itu, anda tidak boleh lari daripada hakikat apa sahaja minyak yang anda hasilkan, 5% perlu diberikan kepada negeri sebagai bayaran tunai. Itu

FMT.

Tiada ulasan: