29 November 2021

Royalti minyak tiada kena mengena dengan perairan wilayah, Zaid jawab Zafrul

 

Zaid Ibrahim mempersoalkan bagaimana Kelantan dapat maju tanpa wang yang mencukupi.

PETALING JAYA: Bayaran royalti minyak bergantung kepada perjanjian antara negeri dengan kerajaan persekutuan dan tiada kaitan dengan perairan wilayah, kata bekas menteri Zaid Ibrahim.

Bekas Menteri Undang-undang itu menjawab kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menyebut bahawa tidak akan ada bayaran royalti minyak kepada mana-mana negeri di Semenanjung, termasuk Kelantan.

Dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan Kelantan.

Namun begitu katanya, kerajaan persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ehsan kepada negeri itu memandangkan lokasi medan itu berdekatan dengan perairan Kelantan.

Zaid sebaliknya berhujah, apabila kerajaan Kelantan memberi hak kepada Petronas untuk pembangunan petroleum, perjanjian itu melayakkan negeri itu mendapat bayaran 5% daripada hasil minyak.

“(Royalti) tiada kena mengena dengan berapa kilometer, berapa batu nautika, sama ada ia dalam perairan wilayah, walaupun Akta (Kemajuan Petroleum 1974) menyebut 12 batu nautika dari Kelantan, Terengganu dan sebagainya.

“Sabah dan Sarawak masih mendapat royalti dari telaga-telaga minyak di luar tiga batu nautika. Jadi, tidak ada kena mengena,” katanya di Facebook.

Zaid berkata, kerajaan Kelantan pimpinan PAS sebelum ini menyaman kerajaan persekutuan berhubung royalti minyak tetapi selepas 10 tahun, ia menggugurkan kes itu kerana berpuas hati dengan RM600 juta yang diberikan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Menteri-menteri Umno pun apa kurangnya. Annuar Musa (Ahli Parlimen Ketereh) kata beliau cemburu dengan kemajuan Sarawak.

“Tak perlu rasa cemburu. Beliau perlu rasa Kelantan telah diperbodohkan, dipermainkan dan beliau harus menuntut pembelaan hak (rakyat Kelantan) yang sebenar,” katanya.

Zaid berkata, bajet RM600 juta setahun kepada Kelantan tidak cukup untuk gaji kakitangan awamnya dan mempersoalkan bagaimana negeri itu dapat maju tanpa wang yang mencukupi.

“Sumber yang ada hanyalah pada minyak. Itu hak kita. Maka saya haraplah orang Kelantan, jangan diperbodohkan. Biarlah kita bersatu dan tuntut hak. Inilah satu-satunya sumber untuk kita mengatasi kemiskinan yang ada di Kelantan,” katanya.

Baru-baru ini, kerajaan Kelantan menzahirkan rasa kecewa apabila Putrajaya mengesahkan bahawa Petronas tidak akan membayar sebarang royalti minyak kepada negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau terkejut dengan kenyataan itu kerana kerajaan negeri mengharapkan royalti minyak daripada kerajaan persekutuan.

FMT.

Tiada ulasan: