29 November 2021

Perkhidmatan bas VTL darat Malaysia-Singapura mula beroperasi

 

Untuk permulaan, VTL darat melibatkan 1,440 orang (satu hala) dengan 64 trip sehari, menggunakan perkhidmatan bas Handal Indah (Causeway Link) (Malaysia) dan Transtar (Singapura). (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Perkhidmatan bas yang membawa pengembara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor mula beroperasi hari ini tepat pukul 7.30 pagi ini.

Tinjauan Bernama di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral sejak 6.30 pagi tadi mendapati suasana terminal sedikit sunyi memandangkan tidak ramai warga Singapura, pemegang permit kerja jangka panjang atau penduduk tetap Singapura yang menggunakan perkhidmatan bas untuk trip pertama.

Bas pertama Causeway Link yang berlepas dari terminal itu ke Queen Street, Singapura tepat 7.30 pagi tadi, cuma membawa hanya lima orang.

Bagaimanapun bas pertama dari Queen Street yang membawa warga tempatan khususnya, tiba pukul 9.15 pagi ini dengan kapasiti penuh seramai 45 orang memandangkan tiket bas habis dijual tidak sampai setengah jam selepas ia dibuka empat hari lepas.

Untuk permulaan, VTL darat melibatkan seramai 1,440 orang (satu hala) dengan 64 trip sehari, menggunakan perkhidmatan bas Handal Indah (Causeway Link) (Malaysia) dan Transtar (Singapura).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong dijadualkan melancarkan VTL darat di Woodlands, hari ini.

Turut dijangka hadir Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Selain itu Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Azfar Mohamad Mustafar juga dijangka akan turut serta pada majlis pelancaran itu.

BERNAMA.

Tiada ulasan: