05 November 2021

China desak perdagangan tanpa sekatan bagi vaksin, ubat

 Presiden China, Xi Jinping- Foto fail AFP

Presiden China, Xi Jinping- Foto fail AFP

SHANGHAI: Presiden China, Xi Jinping menggesa perdagangan global lebih lancar untuk vaksin dan bekalan perubatan susulan dunia berdepan cabaran globalisasi dan peningkatan unilateralisme.

Dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen ketika pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China, Jinping turut menjelaskan sumbangan China terhadap perjuangan global dalam menentang COVID-19 dan usaha membuka ekonomi, walaupun ia mengekalkan pendekatan toleransi sifar terhadap kawalan virus yang meletakkan had ketat untuk perjalanan dalam dan luar negara.

China juga meletakkan tahap waspada tinggi di pintu masuk antarabangsa bagi mengurangkan risiko jangkitan luar COVID-19 selain turut meningkatkan sekatan dalam negara berikutan penularan wabak yang semakin meningkat kurang 100 hari sebelum Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing bermula.

Pentadbiran Imigresen Kebangsaan (NIA) berkata, pihaknya akan terus mengesyorkan rakyat negara itu supaya tidak ke luar negara atas sebab yang tidak mendesak dan tidak penting.

"Sejak penularan COVID-19, China mengeksport kira-kira 350 bilion pelitup muka, lebih empat bilion pakaian pelindung diri (PPE), lebih enam bilion kit ujian serta lebih 1.6 bilion dos vaksin, secara aktif mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam memerangi wabak dan menyokong pengecualian untuk hak harta intelek ke atas vaksin untuk negara membangun," kata Jinping.

Katanya, China turut menyokong pengagihan adil dan perdagangan tanpa sekatan terhadap bekalan perubatan terutama vaksin.

Jinping berkata, rejim perdagangan global pelbagai hala menghadapi cabaran, namun China berjanji akan mengembangkan import dan meneruskan pembangunan perdagangan yang seimbang tanpa menyediakan sasaran khusus.

Beliau berkata, negara juga akan memperluaskan pembukaan industri telekomunikasi dan perkhidmatan kesihatan secara teratur dan akan mengeluarkan senarai sekatan pelaburan untuk membimbing pelabur asing memasuki pasaran.

"China juga akan memainkan peranan aktif dalam menangani perubahan iklim serta mengekalkan keselamatan makanan dan tenaga global," katanya.

Jinping bagaimanapun tidak menghadiri mesyuarat utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim di Scotland minggu ini.

Beliau hanya mengeluarkan kenyataan bertulis pada pembukaan 'segmen peringkat tinggi untuk ketua negara dan kerajaan' pada Isnin, yang mana beliau menggesa dunia untuk menunaikan janji dan memperkukuhkan kepercayaan dan kerjasama bersama. - AGENSI

Tiada ulasan: