05 November 2021

Indonesia rangka skim pelepasan satu pintu jemaah umrah

 Foto fail AFP
Foto fail AFP

JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan umrah ketika pandemik COVID-19 termasuk skim pelepasan satu pintu menerusi Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

"Kami perlu sampaikan kepada otban (pihak berkuasa lapangan terbang) bahawa Kementerian Hal Ehwal Agama sedang berusaha meneliti pelbagai isu teknikal sebelum rakyat dibenarkan melakukan umrah ketika pandemik," Ketua Sub-direktorat Pemantauan dan Penyeliaan Umrah dan Haji Kementerian Hal Ehwal Agama, M Noer Alya Fitra, dalam satu kenyataan.

Memetik laporan portal antaranews.com, skim pelepasan jemaah umrah satu pintu bertujuan memudahkan kawalan dan penyeliaan serta memastikan kesihatan dan keselamatan jemaah ketika pandemik COVID-19.

M Noer berkata asrama haji dijangka menjadi lokasi permulaan bagi jemaah umrah berlepas.

"Jemaah umrah mesti berada di asrama haji bagi mempersiapkan dokumen perjalanan dan keperluan kesihatan mereka. Oleh itu, kita amat memerlukan bantuan pihak berkuasa lapangan terbang bagi memastikan kemudahan asrama haji memenuhi syarat sebagai tempat berlepas antarabangsa seperti perkhidmatan untuk jemaah haji," tegasnya.

Ketua Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Wilayah I, Yufridon Gandoz Situmeang, memuji inisiatif dan langkah diambil kementerian itu.

Lapangan terbang itu bersedia menyokong program kementerian dengan menyediakan perkhidmatan umrah di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, katanya.

"Mengenai hal teknikal di asrama haji, kita akan segera menilai kesediaannya sebagai terminal antarabangsa. Dengan konsep seperti haji bermakna asrama haji menjalankan pemeriksaan kesihatan dan imigresen untuk jemaah umrah termasuk pengangkutan dari asrama ke lapangan terbang," katanya.

Beliau berpendapat penerbangan terus lebih selamat untuk jemaah selain menyarankan pesawat digunakan jemaah tidak digunakan untuk membawa penumpang lain.

"Kita mesti pastikan jemaah umrah selamat dan tidak terdedah kepada COVID-19 ketika dalam perjalanan, jadi lebih baik jika mereka tidak ditempatkan bersama penumpang lain," katanya. - AGENSI

Tiada ulasan: