05 November 2021

COVID-19 merebak ke wilayah ke-20 China, 800 kes baharu direkodkan

 Wabak COVID-19 di China terus merebak secara meluas apabila ia beralih ke timur negara itu. - Foto AFP

Wabak COVID-19 di China terus merebak secara meluas apabila ia beralih ke timur negara itu. - Foto AFP

BEIJING: Wabak COVID-19 di China terus merebak secara meluas apabila ia beralih ke timur negara itu, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah pencegahan segera yang lebih ketat dalam usaha mengawalnya.

Suruhanjaya kesihatan negara itu melaporkan 68 kes tempatan hari ini, dengan 22 kes tambahan yang tidak menyebabkan sebarang gejala.

Wilayah Heilongjiang di timur laut yang menyumbang lebih daripada satu pertiga daripada jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 telah menjadi pusat penularan terbaharu apabila kluster misteri yang muncul di bandar sempadan utara, Heihe, melonjak walaupun sekatan di seluruh bandar.

Penularan wabak terbaharu itu cenderung menjejaskan kebanyakan sekolah.

Global Times melaporkan sekurang-kurangnya 20 kes disahkan di Heihe, berkait dengan sekolah dan tadika.

Tambah laporan itu, penutupan lebih 60 peratus sekolah menjejaskan 2.84 juta pelajar dan 250,000 guru, dengan kumpulan pakar mendesak vaksinasi dilaksanakan segera terhadap kanak-kanak bawah umur.

Sementara itu, Isnin lalu, pihak berkuasa tempatan, berkata universiti tempatan, Kolej Heihe turut ditutup selepas 10 kontak rapat kes COVID-19 dikesan.

Penularan wabak itu dalam kalangan pelajar turut dikesan di Hebei yang bersempadan dengan Beijing dan Gansu.Di Gansu, sekurang-kurangnya 12 jangkitan dalam kalangan pelajar dilaporkan sekali gus memaksa penggantungan kelas secara bersemuka di lebih 10,000 sekolah dan tadika.

Gelombang terbaharu itu disebabkan penularan pantas varian Delta yang kini telah tersebar ke 20 wilayah tanah besar dan kini menjadi jangkitan terbesar sejak virus itu mula muncul di Wuhan pada 2019.

Untuk rekod, hampir 800 orang telah dijangkiti wabak itu dalam tempoh tiga minggu yang lalu. - BLOOMBERG

Tiada ulasan: