26 November 2021

Majoriti negeri catat peningkatan jangkitan Covid-19 susulan kebenaran rentas negeri

 

KHAIRY JAMALUDDIN

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes Covid-19 kecuali Perlis, Sarawak dan Sabah susulan kebenaran merentas negeri yang dilaksanakan 11 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, enam negeri iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Labuan pula menunjukkan kadar pengisian katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus. 

Katanya, tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.

“Dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 yang dirawat di fasiliti kesihatan, didapati bilangan pesakit dalam kalangan umur 40 tahun ke atas dan juga kumpulan warga emas (60 tahun dan ke atas) menunjukkan peningkatan. 

“Kementerian percaya peningkatan ini mungkin disebabkan faktor tahap antibodi terhadap Covid-19 yang menurun selepas beberapa bulan menerima vaksinasi lengkap. Situasi ini juga dilihat di banyak negara yang mencapai kadar vaksinasi lengkap yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khairy berkata, golongan warga emas dan golongan 40 hingga 59 tahun terlebih dahulu menerima vaksin sebelum ini, maka tahap antibodi mereka terhadap Covid-19 menurun lebih awal.

Katanya, bagi memastikan tahap antibodi terhadap jangkitan Covid-19 kekal optimum, KKM menyarankan pemberian dos penggalak (booster) dan sehingga 25 November, sebanyak 1,823,474 dos penggalak diberikan, malah data terkini daripada kumpulan remaja juga amat memberangsangkan.

“Namun begitu, terdapat juga indikator yang perlu diberi perhatian serius. Di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan didapati meningkat semula meliputi pesakit semua,” katanya.

Tambah Khairy, indikator purata kes aktif Covid-19 menunjukkan peningkatan sebanyak 6 peratus dalam tempoh seminggu lepas iaitu daripada 62,224 kes (ME ke-45) kepada 65,722 kes (ME ke-46). 

“Ini disebabkan kes harian Covid-19 dalam ME ke-46 meningkat kepada 40,600 kes berbanding 39,181 kes pada ME-45. Walaupun lebih 98 peratus kes baharu Covid-19 adalah kes kategori satu dan dua, peningkatan kes baharu dan kes aktif Covid-19 selama dua minggu berturut-turut ini telah mengakibatkan kemasukan kes ke fasiliti kesihatan juga mulai meningkat. 

“Terdapat juga kes Covid-19 kategori satu dan dua yang merosot ke kategori lebih serius dan memerlukan kemasukan ke hospital. Secara keseluruhannya kadar penggunaan fasiliti kesihatan (katil bukan ICU, katil ICU dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC)) didapati mula meningkat semula terutamanya di kawasan Lembah Klang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: