10 Disember 2021

Henti budaya persenda, perlekeh golongan OKU

 

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia melahirkan rasa kesal yang amat tinggi di atas dua video tular baru-baru ini, yang dengan terang-terangan mempersenda serta memperlekeh golongan orang kelainan upaya (OKU).


Pengerusi Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Reen Mohd Amin berkata, tindakan seorang pemuda dan rakannya menyalah guna tempat letak kereta OKU dan tindakan dua orang wanita penunggang basikal menyalah guna tandas OKU adalah amat tidak wajar.

Menurutnya, mereka bukan sahaja menyalah guna kemudahan yang disediakan khusus untuk golongan OKU, malah mengajuk serta mempersenda golongan tersebut tanpa rasa bersalah, jauh sekali dari sifat sensitif, apatah lagi prihatin.

“Sikap seperti ini adalah satu sikap yang harus dikecam. Budaya mengambil kesempatan, menghina, tidak sensitif atau empati di atas kesusahan dan kelemahan orang lain adalah suatu budaya yang tidak patut dibiarkan menular dalam masyarakat Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahan lagi, katanya apabila tindakan seperti itu berkemungkinan lahir daripada sikap ingin mendapatkan perhatian atau liputan dengan cara yang negatif.

“Kita baru sahaja meraikan sambutan Hari OKU Sedunia pada 3 Disember 2021 dengan tema: Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik Covid-19. Golongan OKU adalah sebahagian daripada kita,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tidak sedikit golongan berkenaan yang berdikari serta mampu berdaya saing dan meraih kejayaan dalam pelbagai bidang.

Menurutnya lagi, mereka juga adalah kebanggaan negara, yang telah terbukti dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih dalam bidang sukan paralimpik.

Namun, kata beliau adalah sesuatu yang begitu menyedihkan, apabila dalam era kemajuan ini, masih terdapat segelintir masyarakat Malaysia yang tidak peka akan pelbagai pengiktirafan yang telah diraih oleh golongan OKU.

Beliau berkata, sewajarnya masyarakat berempati dengan golongan OKU, serta bersama berganding bahu membantu pelbagai inisiatif pemerkasaan dan pembelaan yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui KPWKM.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada YB Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang telah menyuarakan dengan begitu lantang akan hak-hak dan pembelaan yang wajar diberikan kepada golongan OKU,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru seluruh masyarakat Malaysia menuju ke arah kesihatan minda dan akal serta membasmi sebarang bibit ke arah kehancuran akhlak dan budi pekerti.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu ke arah melahirkan keluarga Malaysia yang sihat dalam ertikata kesihatan yang sebenar, pemangkin kemajuan negara dan tamadun manusia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/12/2021

Tiada ulasan: