10 Disember 2021

Padah tolak vaksin, 500 kakitangan sekolah LA dipecat

 

Suptenden Interim, Megan K. Reilly berkata, keputusan sukar itu dibuat bagi memastikan komuniti di sekolah selamat. - Myung J. Chun/Los Angeles Times

LOS ANGELES, CALIFORNIA – Hampir 500 kakitangan sekolah awam di Los Angeles dipecat selepas enggan mematuhi arahan mendapatkan vaksin Covid-19, lapor laman berita RT News semalam.
Lembaga Sekolah-sekolah Bersatu Daerah Los Angeles membatalkan kontrak 496 pekerja pada Selasa lalu selepas mereka gagal mendapatkan vaksinasi menjelang tarikh akhir pada 15 November lalu, lapor agensi berita  Associated Press.

Kakitangan yang enggan divaksin sebelum ini tidak dibenarkan ke sekolah dan telah diberikan cuti.

‘’Memecat individu yang memilih untuk tidak divaksin adalah keputusan yang sukar tetapi perlu untuk memastikan komuniti di sekolah selamat,’’ kata Pemangku  Penguasa Pelajaran daerah, Megan Reilly selepas sesi pengundian berlangsung. 

‘’Kami mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka dan menggalakkan semua orang untuk mendapatkan vaksin,’’ jelasnya.

Walaupun kebanyakan pekerja yang dipecat adalah kakitangan yang tidak bertauliah, ada yang turut berkhidmat dalam tugas penting seperti pengawal, pekerja kafeteria dan pembantu guru.

Los Angeles telah menetapkan peraturan vaksinasi untuk kakitangan dan pelajar yang berlainan daripada  negeri-negeri lain di Amerika Syarikat. 

Pelajar di daerah itu turut diarahkan menerima vaksin sebelum semester kedua bermula pada 10 Januari depan.

Setakat kelmarin, kira-kira 85 peratus daripada 600,00 pelajar di daerah itu sudah menerima suntikan lengkap. – Agensi

Tiada ulasan: