10 Disember 2021

Kutip saman RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam

Orang ramai menyerbu kaunter PDRM susulan pengurangan kadar kompaun saman sehingga 80 peratus pada Program 100 Hari AKM di KLCC. - Foto ihsan pembaca
Orang ramai menyerbu kaunter PDRM susulan pengurangan kadar kompaun saman sehingga 80 peratus pada Program 100 Hari AKM di KLCC. - Foto ihsan pembaca

KUALA LUMPUR: Polis memperoleh bayaran saman berjumlah kira-kira RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam sepanjang pelaksanaan diskaun saman sebanyak 80 peratus bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata daripada 287,500 saman, 8,943 daripadanya dengan nilai RM431,330 dikutip melalui kaunter diskaun Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Beliau berkata, sejumlah 74,312 saman pula membabitkan nilai RM3.4 juta berjaya dikutip melalui aplikasi dan portal MyBayar Saman.

"Walaupun kaunter di KLCC sudah ditutup, namun orang ramai boleh terus membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Polis Kontinjen (IPK) yang mempunyai kaunter trafik dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

"Mereka boleh membayar melalui MyBayar Saman secara dalam talian selama 24 jam dan memang ada berlaku masalah untuk diakses ketika waktu puncak.

"Namun, orang ramai diminta bersabar dan terus menggunakan aplikasi itu sebagai alternatif pembayaran," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Katanya, penutupan kaunter di KLCC disebabkan jumlah pengunjung yang ramai sehingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

BHARIAN.

Tiada ulasan: