10 Disember 2021

Di sebalik keputusan perbicaraan DS Najib Razak

 

RAMAI ternanti-nanti keputusan perbicaraan Dato’ Seri Najib Razak (DSNR). Walaupun DSNR didakwa cuba melengahkan keputusan dengan pelbagai alasan, namun akhirnya Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah sebelum ini. Ia diputuskan melalui atas talian.

Apa ulasan pelbagai pihak secara umum berkait keputusan ini? Rakyat umum melihat keputusan ini satu keputusan yang menandakan mahkamah masih hidup dengan fungsinya. Institusi mahkamah sering kali tercalar dengan persepsi dikawal pemerintah khususnya di era penguasaan BN dan kian terserlah di zaman PH. 

Ia bukan tuduhan kosong namun ternyata orang berkuasa dan keluarga mereka sering kali terlepas dari pendakwaan. Orang ramai tidak mempersoalkan keputusan hakim tetapi kecewa apabila kes digugurkan sebelum pendakwaan.

Bagi penyokong DSNR, keputusan ini dipersepsikan sebagai satu keputusan terancang. Mereka cuba mempersepsikan bahawa mahkamah dikawal. Walaupun mereka menyedari bahawa Perdana Menteri adalah dari parti Umno yang pernah dipimpin DSNR.

Mereka tidak akan berhenti hinggalah keputusan mahkamah menyebelahi kehendak mereka. Jika itu berlaku, ulasannya pasti… ‘Mahkamah telah memberi keadilan…’ Hakikatnya, adil itu ialah apabila keputusan sesuai dengan apa yang mereka mahu.

Sebagaimana sebelum ini, penyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mempersepsikan mahkamah dikawal, kini giliran penyokong DSNR pula yang dulunya mempertahankan mahkamah.  Sikap ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Tun Mahathir (Tun M) pula bingkas mengkritik keputusan yang memberikan penangguhan pelaksanaan keputusan kepada DSNR. Bagi Tun M, ianya pelik apatah lagi DSNR yang telah disahkan bersalah oleh dua lapis mahkamah masih mempunyai kebebasan malah boleh menyertai pilihan raya jika ia berlaku.

Umum masih berpersepsi DSNR sedang bergerak untuk menjadi Perdana Menteri jika Umno berkuasa. Jika itu berlaku, pastinya beliau akan terselamat dari hukuman. Itu realiti pengalaman lalu dalam pemerintahan BN.

Fokus saya ialah betapa institusi kehakiman negara mula diberi pengharapan dalam pemerintahan Perikatan Nasional. Ia berlaku walaupun Perdana Menteri dari Umno kerana kuasa itu dikongsi bersama walaupun secara tidak seimbang.

Gabungan pelbagai parti yang bukan dari komponen yang sama telah memberi sedikit nafas kepada institusi penguatkuasaan dan undang-undang dalam negara. Ia satu kebaikan besar.

PAS sebagai Parti Islam telah menegaskan dari awal perkara ini. Saya difahamkan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah mengingatkan Tan Sri Muhyiddin sewaktu dilantik menjadi Perdana Menteri bahawa Kabinet yang dibentuk mesti bebas dari kluster mahkamah dan tiada campur tangan menggugurkan pertuduhan kepada mana-mana pemimpin.

Peringatan ini dipertahankan dan diteruskan oleh Dato’ Seri Ismail Sabri walaupun terlihat sedikit goyah kerana asakan dalaman Umno. 

Rakyat terus memantau perkara ini terutama golongan muda yang bakal mengundi pertama kali. Dato’ Seri Ismail Sabri nampaknya masih mampu bertahan dari asakan. Jika ini berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri tentunya asakan lebih ganas lagi. 

Apa yang pasti, rakyat gembira dengan suasana baru ini. Jika kerajaan gabungan pelbagai parti ini kekal, apatah lagi jika PAS boleh lebih dominan dan berperanan, saya yakin, cahaya harapan rakyat pasti menyinar untuk generasi Malaysia baru. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 9/12/2021

Tiada ulasan: