10 Disember 2021

Awas gigitan nyamuk aedes

 Peningkatan kes denggi dapat dicegah dengan mengawal penyebaran vektor. - Foto  hiasan

Peningkatan kes denggi dapat dicegah dengan mengawal penyebaran vektor. - Foto hiasan

PADA musim banjir penyakit berjangkit mudah menular termasuk demam denggi yang merebak melalui gigitan nyamuk aedes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan jangkitan denggi (DENV) kepada dua kategori, iaitu denggi dan denggi teruk.

Pensyarah Farmasi Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Malina Jasamai, berkata deman denggi berdarah (DDB) dan sindrom kejutan denggi (SKD) menyebabkan morbiti dan kematian termasuk di dalam kategori denggi teruk.


Dr Malina Jasamai.
Dr Malina Jasamai.

Jangkitan denggi disebabkan oleh empat serotip virus denggi, iaitu DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4.

DENV disebarkan nyamuk aedes aegypti dan aedes albopictus yang menjadi vektor kepada virus itu.

Gunakan vaksin

Beliau berkata, peningkatan kes denggi dapat dicegah dengan mengawal penyebaran vektor.

Populasi nyamuk boleh dikawal dengan menggunakan kaedah mekanikal, kimia, biologi dan kejuruteraan genetik.

"Jangkitan denggi boleh dicegah dengan menggunakan vaksin. Disebabkan belum ada ejen antivirus boleh digunakan, terapi sokongan diberi kepada pesakit yang dijangkiti denggi.

"Terdapat beberapa potensi rawatan yang masih dikaji untuk membunuh virus denggi," katanya.

Kawalan vektor

Beliau berkata, antara kawalan mekanikal yang digunakan adalah perangkap nyamuk seperti perangkap gravid aedes, iaitu menyerupai ovipositor nyamuk betina.

Nyamuk diperangkap masuk dengan menggunakan air atau umpan organik. Selepas terperangkap, nyamuk tidak dapat melepaskan diri kerana melekat pada permukaan yang melekit atau dibunuh oleh racun serangga di dalam perangkap ini.

Minyak dan manik polistirena boleh digunakan untuk mengawal populasi nyamuk di mana lapisan terbentuk di permukaan air akan menghalang larva nyamuk bernafas.

Perangkap gravid aedes

Racun serangga antara kaedah paling berkesan untuk mengawal populasi nyamuk tetapi kebanyakannya mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan dan persekitaran.

Ada juga racun serangga yang sudah tidak berkesan lagi kerana munculnya nyamuk yang rintang terhadapnya.

"Untuk mengatasi masalah ini endotoksin yang dihasilkan oleh bakteria Bacillus thuringiensis israelensis (Bti) digunakan untuk membunuh larva nyamuk aedes.

"Selepas dimakan oleh larva, toksin Bti membentuk liang pada membran sel larva yang menyebabkan kematian sel secara beransur-ansur," katanya.

Sumimoto chemical pula membangunkan dua produk, iaitu formulasi kedua-duanya mengandungi piriproxifen, metoflutrin atau siphenotrin.

Bahan kimia ini boleh mengganggu pertumbuhan nyamuk. Piriproxifen mempunyai ketoksikan yang rendah kepada manusia dan penggunaannya di dalam air minuman dibenarkan WHO.

Formulasi ini ditambahkan ke dalam bekas simpanan air dan ia mampu menghalang pertumbuhan larva nyamuk untuk tempoh enam bulan.

Metoflutrin dan siphenotrin digunakan untuk semburan kabus. Sebatian aktif daripada tumbuhan seperti serai wangi, kunyit, merunggai dan manjarawai juga dikaji untuk dibangunkan sebagai racun serangga.

Piring sumiLarv di dalam bekas air minuman

Kawalan biologi seperti jangkitan bakteria Wolbachia boleh mengurangkan populasi vektor. Cara pemakanan nyamuk dijangkiti berubah dan seterusnya memendekkan jangka hayatnya.

Selain bakteria, jangkitan fungus Beauveria bassiana dan Lagenidium giganteneum juga digunakan.

Ikan pemangsa larva nyamuk aedes seperti gambezi (ikan nyamuk), gupi dan tilapia juga digunakan untuk mengurangkan populasi larva.

Pendekatan lain untuk mengurangkan populasi vektor termasuk mengubah genetik nyamuk.

Gen nyamuk jantan diubah suai supaya apabila nyamuk transgenik ini mengawan dengan nyamuk betina, larva terhasil mati di peringkat awal tumbesaran.

Pencegahan, rawatan jangkitan denggi

Dr Malina berkata, jangkitan primer oleh satu serotip dapat memberi imunisasi berpanjangan terhadap serotip, tetapi tidak kepada serotip lain.

Jangkitan sekunder oleh serotip lain akan meningkatkan risiko DDB dan SKD melalui kesan peningkatan antibodi (KPA).

Jangkitan denggi mudah merebak pada musim banjir. - Foto  hiasan
Jangkitan denggi mudah merebak pada musim banjir. - Foto hiasan

"Oleh itu, vaksin dihasilkan memberi perlindungan yang mencukupi terhadap keempat-empat serotip denggi (vaksin tetravalen)," katanya.

Antibodi monoklonal ialah molekul sintetik yang berfungsi sebagai ejen imunisasi untuk membantu antibodi asli menghalang serangan virus.

Ia mampu mencegah kemasukan virus ke dalam sel perumah. Sehingga kini antibodi monoklonal terhadap DENV sedang berada di pelbagai fasa klinikal.

Mengenai pembangunan vaksin dan KPA perlu diambil kira jika antibodi monoklonal hendak digunakan untuk merawat jangkitan denggi.

Pembangunan antivirus

Protein berstruktur dan tidak berstruktur virus menjadi sasaran utama dalam pembangunan ejen antivirus.

Protein dalam bentuk enzim diperlukan untuk replikasi virus seperti protease dan polimerase menjadi fokus utama dalam pembangunan antivirus untuk DENV.

Selain mengkaji molekul sintetik, ekstrak tumbuhan juga diberi perhatian dalam pembangunan antivirus untuk DENV.

Sebatian aktif yang dipencilkan daripada ekstrak temu kunci, peria katak, hempedu bumi dan semambu menunjukkan aktiviti perencatan terhadap replikasi DENV.

Namun, kebanyakan ejen antivirus masih di peringkat pembangunan dan sehingga kini masih belum ada digunakan untuk merawat denggi.

Terapi sokongan

Beliau berkata, disebabkan masih belum ada ejen digunakan untuk merawat denggi, pesakit denggi hanya diberi terapi sokongan.

Untuk pesakit denggi ringan, mereka digalakkan berehat dan memastikan badan kekal terhidrat. Untuk pesakit yang alami DDB dan SKD, ubat analgesik dan antipiretik seperti parasetamol diberi untuk meredakan gejala denggi.

Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen, naproxen, asid mefanamik dan indometasin harus dielakkan kerana berisiko menyebabkan pendarahan usus dan hematoma otot.

WHO juga mengesyorkan penggunaan larutan kristaloid yang mengandungi elektrolit, protein dan polisakarida untuk pesakit SKD.

Banyak kajian sedang dilakukan

Katanya, kajian untuk mendapatkan kaedah pencegahan dan rawatan denggi yang optimun sedang dilakukan pelbagai pihak.

Kawalan vektor dengan membasmi larva dan nyamuk dewasa adalah kaedah utama menghalang jangkitan denggi memandangkan masih kurang kaedah boleh digunakan untuk membunuh atau mencegah jangkitan DENV.

Kajian membangunkan vaksin lebih selamat dan berkesan kepada keempat-empat serotip DENV sedang berjalan, selain usaha membangunkan ejen antivirus daripada sebatian sintetik serta sebatian aktif tumbuhan.

"Terapi sokongan adalah kaedah rawatan utama kerana belum ada ejen antivirus yang boleh digunakan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: